JWEF bantu operasi usahawan muda   Dari kiri Amit, Nazrin, Saravanan, Pengerusi Cradle Fund, Datuk Sallehuddin Othman dan Pengerusi Protem dan Penasihat JWEF, Michael Teoh pada majlis pelancaran JWEF peringkat Malaysia di Subang, semalam. - Foto Danial Noordin
Malaysia mengorak langkah proaktif dalam mengukuhkan jaringan keusahawanan mudanya dengan menyertai Junior World Entrepreneurship Forum (JWEF), sebuah forum global yang disertai komuniti pelajar serta usahawan muda dari 70 negara.

Ditubuhkan pada 2008 oleh EMLYON Business School dan KPMG, ia bertujuan menggalakkan keusahawanan muda sebagai satu kaedah menghasilkan kekayaan serta keadilan sosial sedunia menjelang 2050.
Ketua Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, berkata usaha untuk membawa inisiatif itu ke negara ini penting kerana ia mampu menonjolkan Malaysia dan usahawan mudanya di peringkat global.
Forum ini membolehkan kami memupuk pemikiran global yang berpotensi meningkatkan tahap perniagaan usahawan muda di negara ini daripada hanya berniaga pada peringkat tempatan kepada menembusi pasaran antarabangsa,” Nazrin Hassan, Ketua Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd

“Ramai usahawan muda di negara ini mempunyai kepakaran dan kebolehan setaraf usahawan antarabangsa tetapi kebanyakannya tidak mempunyai keyakinan untuk menembusi atau bersaing pada peringkat global akibat kurang pendedahan.

“Forum ini membolehkan kami memupuk pemikiran global yang berpotensi meningkatkan tahap perniagaan usahawan muda di negara ini daripada hanya berniaga pada peringkat tempatan kepada menembusi pasaran antarabangsa,” katanya selepas majlis pelancaran JWEP peringkat Malaysia di Subang, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan. Turut hadir ialah Ketua Eksekutif INTI International University and Colleges (INTI College), Amit Sevak.

Dana awal
JWEF peringkat Malaysia dijalankan dengan suntikan dana awal daripada Cradle Fund dan INTI College bertindak menyediakan kemudahan pusat operasi kepada sekretariat forum itu di negara ini.

Bagi tempoh dua tahun pertama, operasi JWEF peringkat Malaysia ditanggung sepenuhnya Cradle Fund dan selepas itu sekretariat forum perlu meraih sumbangan syarikat korporat tempatan untuk meneruskan usahanya menggalakkan keusahawanan muda.