PUTRAJAYA: Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu berani membuat keputusan ketika melaksanakan transformasi masing-masing tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, berkata ini kerana semua agensi terbabit sudah mempunyai kuasa untuk berbuat demikian dan tidak memerlukan 'lampu hijau' daripada JPA.
"Sepatutnya ketua-ketua jabatan boleh mengambil tindakan, tetapi mereka tidak mahu membuat keputusan. Kalau boleh benda-benda yang boleh buat keputusan di peringkat kementerian dan jabatan, ia perlu dilaksanakan. Kita di JPA buat polisi sahaja," katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan penempatan 'Cross Fertilization Program' (PCF) kepada 20 peserta, di sini hari ini.

Mohamad Zabidi berkata, dalam menjayakan transformasi sektor awam, JPA melaksanakan lima teras strategik iaitu Meremaja, Merekayasa, Merakyatkan, Keterangkuman dan Nilai Bersama.

Lima teras ini bukan sahaja dapat meningkatkan sistem penyampaian JPA tetapi juga imej baik sektor awam dalam kalangan rakyat, katanya.

Menurutnya proses transformasi itu yang sudah selesai dilaksana di JPA akan diperluas ke agensi kerajaan lain bermula hujung tahun ini.
Mengenai PCF, beliau berkata program itu yang dilaksana sejak 2009 dan memberi manfaat kepada 69 pegawai setakat ini merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Menerusi program itu, kerajaan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan awam menerusi perkongsian maklumat, pengalaman dan kepakaran selain mewujudkan multisinergi antara sektor awam dan swasta, katanya. - BERNAMA