Kuantan: Bagi pasangan suami isteri, Zulkiflee Abdul, 48, dan Khatijah Hussain, 51, sambutan Aidilfitri kali ini tidak semeriah tahun sebelumnya apabila anak perempuan kesayangan mereka hilang lebih seminggu.

Fatimah, 26, anak kedua daripada lima beradik, gagal pulang ke rumah selepas meminta izin untuk keluar membeli kelengkapan hari raya di bandar ini, 11 Ogos lalu.
Laporan polis mengenai kehilangan wanita itu dibuat di Balai Polis Kuantan, sehari selepas kejadian. Lebih membimbangkan Zulkiflee dan isteri, motosikal ditunggang anak mereka itu ditemui tiga hari selepas kehilangannya di Kampung Sungai Soi, dekat sini.


Tak syak apa-apa

Fatimah memang rapat dengan saya dan dia selalu mengadu jika ada masalah. Jadi, saya tak syak apa-apa ketika dia minta izin untuk ke bandar. Sebelum dia keluar, saya pesan beli barang dapur sekali. Apabila dia tak balik-balik hingga jam 11 malam, suami keluar mencari di tempat kerja Fatimah, namun tak jumpa.

Dia juga tak jawab panggilan yang kami buat sehingga hari ini (semalam), kata Khatijah ketika ditemui di Kampung Sri Cempaka, Pantai Sepat, dekat sini.

Sementara itu, Zulkiflee yang bekerja sebagai nelayan, berkata Fatimah keluar menunggang motosikal miliknya dan memberitahu mahu ke bandar membeli pakaian raya.
Pelik kelakuan

Apabila dia tidak pulang ke rumah, saya ke tempat kerjanya di stesen PETRONAS Sungai Soi, kira-kira jam 11 malam berkenaan dan rakannya cakap anak saya tidak bekerja hari itu. Dua hari sebelum kehilangannya, dia berubah jadi pendiam.

Biasanya bila balik kerja, dia akan tolong ibunya masak untuk berbuka, tapi sebelum kejadian, dia terus masuk bilik, katanya.

Zulkiflee yang memaklumkan anaknya itu juga dalam proses perceraian dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat menghubunginya di talian 019-9042861 atau balai polis berhampiran.