ROMPIN: Projek menaik taraf Jalan Kuantan-Segamat daripada dua lorong kepada empat lorong akan menjadi keutamaan kepada Kementerian Kerja Raya dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi mengurangkan kes kemalangan maut yang sering berlaku di laluan itu.

Laluan sepanjang 147 kilometer itu yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Tun Razak dibina pada 1970 dan mengorbanan banyak nyawa termasuk dua kes kemalangan ngeri mengakibatkan enam sekeluarga terbunuh pada 8 Jun lalu, diikuti lima sekeluarga lagi Khamis lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata pihaknya ada membuat kajian berhubung keperluan menaik taraf jalan berkenaan berikutan pertambahan bilangan trafik yang menggunakan laluan itu.


"Ya...kita meletakkan projek menaik taraf laluan ini sebagai satu keutamaan dalam RMK-10.

"Kita juga sudah mencadangkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi tujuan berkenaan dan berharap ianya dapat diluluskan secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rompin di sini hari ini.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, yang juga Ketua UMNO Bahagian Rompin; Timbalannya, Datuk Hassan Ariffin; dan Naib Ketuanya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Shaziman juga berkata, usaha menaik taraf Jalan Kuantan-Segamat itu perlu kerana pihaknya juga tidak mahu lagi kejadian tidak diingini termasuk kemalangan maut berikutan pertambahan jumlah kenderaan yang berulang alik di laluan itu.
"Memang ada keperluan bagi kementerian untuk memberi keutamaan bagi projek menaik taraf jalan berkenaan sekali gus dapat menangani masalah sedia ada," katanya.

Khamis lalu, lima sekeluarga dari Muar, Johor maut manakala tiga lagi cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bertembung sebuah lori treler di Kilometer 87, Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Paloh Hinai, Pekan, pada 7.45 pagi.

Sebelum itu, enam sekeluarga terbunuh selepas bertembung sebuah lori di Kilometer 78, laluan yang sama jam 8.45 malam, dekat Runchang, Pekan.

Jalan Kuantan-Segamat dibina bagi memendekkan perjalanan dari kawasan Pantai Timur ke Segamat, Muar, Seremban dan Melaka.

Mengenai perkembangan terbaru Fasa Kedua Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghubungkan Jabor ke Kuala Terengganu yang dijangka siap tahun depan, Shaziman berkata projek itu berjalan lancar kecuali terdapat beberapa segmen di laluan itu yang masih belum dapat disiapkan.

"Ada sebahagian segmen dalam projek berkenaan membabitkan beberapa kontraktornya yang dilantik kerajaan ada menghadapi masalah sebab kenaikan harga barang binaan dan kita sedang menanganinya," katanya.