TEMERLOH: Sehari sebelum hari pengundian, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengulangi larangan kepada ahli dan penyokong parti politik yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau supaya tidak membawa sebarang bentuk bahan kempen, sekurang-kurangnya 50 meter dari pintu masuk ke pusat mengundi.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata larangan itu termasuk membawa poster, bendera, memasang video kempen, kipas, topi, baju atau memakai kemeja T yang mempunyai logo parti politik yang bertanding.
"Konvoi penyokong calon juga tidak dibenarkan mengibar bendera parti politik atau menggunakan pembesar suara seperti lori atau van ‘orang jual surat khabar lama’ untuk meraih undi pada saat akhir.
"Bagi pengundi pula, jangan memakai baju atau kemeja T yang mempunyai logo parti politik, topi dan kipas, walaupun kita tahu sekarang musim panas, tetapi bila berada kira-kira 50 meter dari pintu masuk ke pusat mengundi itu, mereka diminta tidak lagi membawa bahan kempen berkenaan.
"Jika kes seperti itu berlaku, pasukan penguatkuasa SPR atau polis akan bertindak merampasnya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sebanyak 10 sekolah, dua balai raya dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi untuk 22 saluran pada pilihan raya kecil DUN Kerdau, esok.
Selain itu, Dewan Tun Razak dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang sebelum ini dijadikan pusat penamaan calon akan berfungsi sebagai pusat penjumlahan rasmi undi pilihan raya kecil itu.
Wan Ahmad berkata, kerjasama semua pihak penting untuk menjamin proses pilihan raya kecil berkenaan berjalan lancar, malah memudahkan SPR bertindak adil kepada semua pihak.
"Sebenarnya semua peringatan berkaitan larangan berkempen mengikut Seksyen 26 Akta Keselamatan Pilihan Raya 1954 itu sudah dimaklumkan kepada calon dan pemimpin parti yang bertanding.
"Bagaimanapun, ada kalanya sukar untuk mencapai tahap pematuhan sepenuhnya kerana SPR dan polis berurusan dengan perangai manusia yang pelbagai. Jadi, kami perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku," katanya.
Beliau berkata, semua pihak juga maklum bahawa kempen untuk pilihan raya kecil di sini tamat pada tengah malam ini, tetapi kebiasaannya SPR masih perlu melakukan rondaan kerana akan ada yang ingkar dan meneruskan kempen hingga awal pagi.
Katanya, meraih undi di saat akhir adalah perkara yang tidak dibenarkan kerana ia juga boleh menimbulkan suasana tegang di kalangan penyokong parti politik terbabit, terutama apabila ada yang membuat provokasi antara satu sama lain.