'Jangan biar SUARAM besar kepala'

'Jangan biar SUARAM besar kepala'

Oleh Mohamed Farid Noh
2012/12/07

Batu Pahat: Kerajaan digesa bertindak tegas dan mengambil tindakan terhadap Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang berterusan menyebarkan fitnah serta pembohongan sehingga mengelirukan rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan SUARAM yang berterusan dan bebas membuat pelbagai dakwaan tidak benar, termasuk berkaitan isu kapal selam Scorpene, menyebabkan rakyat keliru.

Adakah SUARAM ini begitu kebal dan bebas menyebarkan fitnah serta pembohongan secara terbuka tanpa dikenakan tindakan.

"Kenapa SUARAM yang juga badan bukan kerajaan (NGO) tidak berdaftar tidak dikenakan tindakan sedangkan jika pihak lain yang melakukannya pasti dikenakan tindakan, katanya selepas majlis pengumuman peruntukan khas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Sungai Ayam, di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, dakwaan SUARAM berkaitan perbicaraan kes kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis terbukti satu pembohongan tetapi mereka terus menyebarkannya menerusi pentas ceramah pembangkang di seluruh negara tanpa tindakan.

Kelmarin, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, dilaporkan berkata dakwaan SUARAM mengenai perbicaraan kes kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis, ternyata tidak benar dan ia disahkan Naib Presiden PKR, Tian Chua sendiri pada sidang Dewan Rakyat, 21 November lalu.

Sementara itu, Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, menyokong saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta ahli UMNO bersatu dan memberikan sokongan penuh kepada siapa saja calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Ingatan Tun itu memang tepat sekali kerana jika ia tidak dihayati dan dijadikan iktibar, BN bakal berdepan musibah pada pilihan raya kali ini, katanya.