Jangan cetus provokasi ketika PRU-13: KPN

Jangan cetus provokasi ketika PRU-13: KPN

2013/01/16

DUNGUN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meminta pemimpin parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 menasihatkan penyokong mereka agar tidak melakukan provokasi ketika berkempen.

Katanya jika semua pihak memainkan peranan dan menjaga tanggungjawab masing-masing, PRU ke-13 akan berjalan lancar tanpa kekacauan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) tugasnya jaga keamanan, yang lebih penting, parti politik perlu mengingatkan tanggungjawab penyokong mereka untuk buang undi, jangan buat provokasi, nak bergaduh bagi memastikan perjalanan PRU ke-13 berjalan lancar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ismail berkata, secara keseluruhannya PDRM telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum itu.

Selain menganjurkan kursus undang-undang pilihan raya kepada anggota, PDRM juga telah mengadakan latihan bagi menguji operasi komunikasi antara Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, negeri, daerah dan balai di seluruh negara, katanya.

Mengenai kemungkinan PDRM menambah anggota di kawasan yang dianggap 'panas', Ismail berkata polis hanya akan bertindak berdasarkan risikan dan maklumat awam.

"...secara keseluruhannya, PDRM bersiap sedia untuk menghadapi PRU kali ini yang dianggap paling mencabar," katanya. - BERNAMA