Empat puluh sembilan tahun genap pada hari ini, rakyat Sarawak dan Sabah membuat keputusan yang cukup bersejarah pada 16 September 1963. Rakyat Sarawak dan Sabah mengambil keputusan membulatkan tekad mereka, menzahirkan hasrat dan niat, bahawa masa depan mereka dan masa depan anak mereka, akan lebih berjaya dan terjamin jika mereka menyertai bersama-sama 11 negeri lain dalam satu Persekutuan yang diberi nama Malaysia.

Setelah 49 tahun, di padang yang mana kita berhimpun pada malam ini, kita patut tanya pada diri kita apakah keputusan yang kita buat 49 tahun lalu itu satu keputusan yang tepat ataupun sebaliknya? Saya tidak fikir ada seorang pun di padang ini pada malam ini mahupun seorang pun di Bumi Kenyalang ini, ataupun di Negeri Di Bawah Bayu, yang boleh menyatakan bahawa rakyat Sarawak dan Sabah membuat kesilapan yang besar menyertai Malaysia. Betul tidak?
Sebab itulah hari ini, kita berhimpun. Kita berhimpun dalam perhimpunan raksasa yang begitu besar. Mengapa? Dengan perasaan yang begitu gembira, dengan air muka yang begitu ceria, kerana apa? Kerana selepas 49 tahun, kita tidak akan menoleh ke belakang, kita akan melihat ke hadapan bak kata Ketua Menteri Sarawak tadi, Pehin Tan Sri (Taib Mahmud) bahawa Sarawak begitu maju, merdeka dalam Malaysia dan Sarawak akan hidup mati dalam Malaysia.


Janji jadikan bumi berdaulat

Bila pemimpin kita melaungkan merdeka, merdeka, merdeka. Apa ada dalam hati mereka itu bila Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka, merdeka, merdeka? Ada satu perasaan dan ada satu niat dalam hati mereka. Niat di dalam hati pemimpin yang juga pengasas kepada negara kita, bapa kita, ialah bahawa mereka ingin menepati janji bahawa bumi ini akan menjadi bumi yang berdaulat dan merdeka, ini janji mereka.

Justeru, setiap generasi, setiap pemimpin yang mewakili era dan generasi mereka sudah berjanji sebenarnya kepada rakyat Malaysia. Walaupun pada ketika itu, kita tidak pilih tema Janji Ditepati, tetapi pada hakikatnya dalam hati mereka itu, mereka melafazkan janji bahawa mereka akan berjuang habis-habisan. Mereka akan gunakan akal fikiran mereka, segala-gala yang termampu oleh mereka, supaya bumi yang dijajah ini akan bebas dan merdeka. Pemimpin dari generasi itu menepati janji mereka kepada rakyat.

Selepas itu, diikuti dengan pemimpin dalam era mengisi kemerdekaan. Mereka juga melafazkan janji kepada rakyat. Mereka akan turun padang, mereka akan menyinsing lengan dan seluar untuk memastikan bahawa pembangunan akan sampai ke setiap pelusuk ceruk, wilayah Malaysia kita ini dan pemimpin dalam era itu menepati janji mereka.
Sekarang ini, kita sebagai pemimpin hari ini juga ada janji kita kepada rakyat. Apa janji kita, apa janji kita pada rakyat Malaysia? Janji kita bahawa sampainya fajar menyinsing pada 2020, bumi Malaysia ini akan kita martabatkan sebagai sebuah negara maju. Sebab itu kita pilih Janji Ditepati. Kenapa kita harus takut pada Janji Ditepati? Ada orang takut pada Janji Ditepati. Sebab apa mereka takut pada Janji Ditepati? Sebab takut rakyat akan teringat bahawa 16 September itu sepatutnya satu tarikh keramat untuk negara kita. Tetapi tarikh 16 September dikaitkan dengan satu pembohongan yang terbesar dalam sejarah politik tanah air kita, betul tidak?

Manusia bermaruah pegang janji

Kita tidak lupa, empat tahun yang lalu satu penipuan besar dilakukan oleh mereka. Sebab itulah tuan-tuan dan puan-puan, mereka takut bila kita pilih Janji Ditepati walaupun pada hakikatnya itu janji kita, manusia bermaruah hanya boleh pegang pada janjinya.

Kita buat janji dengan Allah SWT, setiap kali kita sembahyang setiap kali kita solat, kita janjikan bahawa solat kita, hidup kita, mati kita kerana Allah. Ini janji kita kepada Allah.

Manusia berpegang pada janji, kalau kita pegang pada janji, Tuhan akan beri kemenangan kepada kita. Rakyat akan sokong kita kerana rakyat hanya suka dan yakin kepada pemimpin yang pegang pada janjinya. Sebab itulah tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita berbangga, Alhamdulillah, Bumi Kenyalang ini terus maju.

Semalam saya berada di Sibu, saya lihat Sibu maju. Hari ini saya merasmikan pembesaran lapangan terbang di Sibu, pelancaran sebuah kolej universiti yang baru anjuran kerajaan negeri dan bila saya turun di Bintulu saya lihat, bak kata Ketua Menteri tadi, sebuah bandar besar, jalan besar, boulevard besar, dan tidak kurang juga di kawasan pedalaman yang begitu banyak saya lawati sejak tiga tahun ini. Sehingga peta lawatan saya sudah disediakan rekodnya oleh Datuk Patinggi Alfred Jabu, ada rekodnya di mana saya sudah pergi, di mana rumah panjang saya sudah lawati termasuk Rumah Panjang Hulu Lacau yang tidak kurang kemudahannya, saya sebut betul-betul Hulu Lacau.

Inilah kejayaan kita dan bila Sarawak hendak peruntukan, hendak sesuatu, kita faham. Kita tidak perlu pada perlembagaan semata-mata. Perjanjian Malaysia itu sudah termaktub dalam perlembagaan. Tetapi yang lebih penting lebih besar daripada itu, ialah hubungan antara pemimpin sama pemimpin, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang sebenarnya menjayakan pembangunan negeri ini.

Kita ada perlembagaan, kenapa ada negeri tidak semaju negeri Sarawak, kenapa? Sebab mereka tidak sehaluan dengan kita, sebab mereka mementingkan politik.

Kita utamakan bukan politik, tapi kesejahteraan rakyat dan masa depan rakyat. Sebab itulah, kita tidak ada problem. Kita boleh runding bersama, saya dengan Pehin Sri boleh duduk runding bersama. Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri boleh duduk runding bersama, apa yang diperlukan demi kebaikan Sarawak kita tidak pernah tolak sama sekali.

Meskipun yang besar, meskipun ada rancangan pada peringkat awalnya misalnya, hendak hantar bekalan tenaga elektrik ke Semenanjung dari Bakun, tapi kerajaan negeri kata kita perlu untuk pembangunan SCORE. Saya buat keputusan tidak perlu hantar ke Semenanjung, kita bekalkan elektrik itu untuk kepentingan pembangunan di Sarawak ini.

Bila kita laksanakan NKRA, GTP seperti paparan dalam video tadi, prasarana luar bandar kita sediakan peruntukan yang paling besar untuk Sarawak dan Sabah. Jalan raya di Sarawak saja termasuk jalan kampung 21,000 kilometer, bekalan air akan meningkat pada 80 peratus dan seterusnya lebih tinggi. Bekalan elektrik pada 83 peratus dan jumlah ini akan terus kita tingkatkan.

Waktu kemerdekaan, perkapita Sarawak hanya RM688 pada 1963, hari ini sudah mencecah RM37,000 pada tahun yang sudah. Ini semua kejayaan kita tuan-tuan dan puan-puan. Kejayaan kita dalam satu keluarga yang besar, dan kejayaan ini bukan kerana kejayaan berdasarkan satu negeri saja. Saya setuju apa yang dikatakan oleh Ketua Menteri tadi. Sarawak berjaya bukan semata-mata kerana Sarawak, Sabah berjaya bukan semata-mata kerana Sabah, 11 negeri di Semenanjung, 12 termasuk di Wilayah Persekutuan bukan kerana mereka. Kita semua berjaya sebab apa? Sebab kita dalam satu negara besar, satu keluarga besar, sebab itu kita berjaya. Bila senang kita senang bersama, bila susah kita berjuang bersama.

Mungkin yang muda-muda ini tidak ingat, tapi dalam kita mempertahankan kemerdekaan Sabah, Sarawak, rakyat Semenanjung juga menitis darahnya berkorban sebagai perwira untuk menjaga keselamatan Sarawak dan Sabah. Dan tidak kurang juga orang Sarawak dan Sabah yang terkorban di Semenanjung kerana apa, kerana mempertahankan kemerdekaan negara Malaysia kita.

Sebab itulah kita kuat, sebab itulah kita berjaya. Jangan pisahkan antara kita sesama kita. Kita sudah masak dengan zaman penjajah dulu, pecah perintah, divide and rule. Itu zaman dulu, zaman sekarang ini, kita bersama dalam satu keluarga, keluarga 1Malaysia. Kalau kita bersikap sedemikian InsyaAllah, Janji Ditepati, kerajaan yang ada hari ini Janji Ditepati. Apa janji besar kita? Janji besar kita hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok penuh dengan sinaran harapan untuk rakyat Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-49.