Jawablah! Untuk apa kami bergaduh! JOHAN (kiri) dan Zizan tidak bergerak secara berkumpulan.
Jozan bukan kumpulan tapi gabungan dua nama khusus untuk Maharaja Lawak

ZAHIRNYA mereka nampak mesra. Suka buat lawak serta saling mengusik antara satu sama lain.
Malah pasangan pelawak ini dikatakan cukup serasi dan setiap kali mereka berdua digabungkan pasti jenaka yang mereka ketengahkan akan menghiburkan. Namun, siapa sangka di sebalik kemesraan yang mereka tunjukkan itu, hanyalah sekadar pura-pura semata.

Khabarnya sejak berada di dalam program Maharaja Lawak lagi, dua pelawak sensasi ini iaitu Johan dan Zizan (Jozan) dikatakan tidak sebulu. Puncanya, Johan makan hati dengan sikap Zizan yang tidak memberikan sepenuhnya komitmen terhadap persembahannya untuk pertandingan itu gara-gara jadualnya yang terlalu sibuk dengan aktiviti lain.

Sudahnya, Johan terkontang-kanting berusaha, memerah otak mencari idea bagaimana untuk menghasilkan lawak yang bermutu sedangkan perkara itu akan menjadi lebih mudah seandainya Zizan menghulurkan bantuan.

Dan kekalahan mereka di tangan kumpulan Sepah juga menjadikan Johan panas hati dan berlakulah babak saling menuding jari siapakah yang bertanggungjawab di atas kekalahan itu.

Untuk mendapatkan kepastian sebenar adakah Johan dan Zizan saling bermusuhan, Hip mendasari hati dua lelaki ini ketika bertemu mereka di sebuah restoran di ibu negara petang kelmarin.
Sambil mengakui terkilan dengan dakwaan itu, mereka juga tanpa ragu-ragu menyifatkan gosip mereka berdua bergaduh itu timbul disebabkan ada pihak yang dengki dengan kejayaan yang mereka kecapi ketika ini.

Hip: Betulkah anda sebenarnya ada masalah tapi depan orang ramai pura-pura mesra.

Johan:
Saya sebenarnya hairan bagaimana cerita seperti ini boleh timbul? Antara kami tiada sebarang masalah. Kami tidak pernah bergaduh seperti yang dilaporkan media sebelum ini. Jadi untuk apa kami bersikap hipokrit. Mungkin ada pihak yang salah faham dengan cara kami berlawak di atas pentas iaitu saling ‘laser melaser’ antara satu sama lain. Itu hanyalah lakonan ataupun dalam bahasa hiburan “propa” semata-mata. Selalunya kalau kami beraksi seperti lelaki lembut dan mengenakan salah seorang daripada kami, itu maknanya kami hanya berjenaka dan bukannya kerana kami tak puas hati. Kami rasa mungkin disebabkan cara kami itu membuatkan orang luar menyangkakan yang kami memang benar-benar bermasam muka.

Hip: Ada yang menyampaikan kononnya permusuhan itu berlaku disebabkan Zizan tidak memberikan sepenuh komitmen sepanjang Maharaja Lawak dan ini membuatkan Johan makan hati. Benarkah begitu?

Zizan:
Setahu saya sepanjang program itu berlangsung, saya tidak pernah gagal dalam memberikan komitmen. Saya tetap memberikan idea pada Johan walaupun ada ketika idea itu tidak diguna pakai. Malah, walau penat mana pun, saya tetap mengutamakan program Maharaja Lawak. Kalau ada penggambaran di luar, saya akan pastikan saya tetap pergi membuat latihan walaupun sehingga lewat pagi. Jadi, dakwaan yang mengatakan saya tidak memberikan sepenuh komitmen adalah tidak benar dan ia seperti mahu memburuk-burukkan saya.

Hip: Reaksi anda ketika membaca gosip itu?

Johan:
Saya rasa cerita yang mengatakan kami bergaduh itu sudah dua kali tersiar di media. Kali pertama membacanya, saya ketawa kerana cerita itu memang tidak benar. Kali kedua cerita yang sama tersiar, ketika itu kami mahu berangkat ke London untuk penggambaran telefilem Drogba dan Rooney. Masa itu memang terkejut lebih-lebih lagi apabila gosip itu ditulis berdasarkan sumber dari pihak produksi. Apa tujuannya produksi itu memberitahu perkara yang tidak benar? Walaupun kami adalah pelawak, tapi kami ada hati dan perasaan. Rasa terkilan sangat kerana gosip seperti ini seolah-olah mahu menjatuhkan kami. Saya percaya mereka yang menyebarkan tohmahan ini adalah mereka yang tidak senang dengan kejayaan kami. Bila gosip seperti ini tersiar, yang akan jadi mangsa selain kami adalah peminat. Tak pasal-pasal mereka juga akan bertelagah disebabkan gosip kononnya kami berdua bergaduh.

Hip: Mustahil kamu berdua tidak pernah bergaduh

Johan:
Memanglah pernah bergaduh tapi bukanlah disebabkan masalah peribadi tetapi lebih kepada kerja. Contohnya, sewaktu Maharaja Lawak, kami saling bertukar idea dan masing-masing cuba mempertahankan idea siapakah yang perlu digunakan. Itu adalah perkara yang normal jika dalam satu pertandingan. Kami menghormati antara satu sama lain. Kalau Johan ada tawaran lain, saya tidak perlu rasa cemburu dan begitulah sebaliknya. Kami sangat profesional apabila membabitkan hal kerjaya.
Saya juga ingin jelaskan di sini bahawa Jozan bukanlah satu kumpulan tetapi ia adalah dua nama individu yang digabungkan untuk program Maharaja Lawak. Ini adalah untuk menjawab pertanyaan apakah benar Jozan sudah berpecah? Kami bukanlah sebuah kumpulan seperti yang disangkakan

Hip: Pesanan untuk mereka yang masih percaya anda berdua bergaduh

Zizan:
Buat semua peminat kami, cerita kami berdua bergaduh hanyalah sebuah gosip saja. Selepas ini, saya harap jika ada terdengar cerita yang bukan-bukan mengenai kami berdua, adalah lebih baik bertanya kepada tuan punya badan sendiri supaya nanti ia tidak sampai mengelirukan banyak pihak.