JELI: UMNO Bahagian Rantau Panjang dan Kubang Kerian yang mempunyai masalah dalam proses pemilihan peringkat cawangan, kini diletakkan di bawah Jawatankuasa Pemilihan Umno Negeri bagi membolehkan mesyuarat diadakan semula.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, terdapat cawangan di bahagian berkenaan yang telah bermesyuarat tanpa mengikut peraturan.
Beliau berkata langkah meletakkan dua bahagian itu di bawah jawatankuasa tersebut bertujuan mengelak berlaku penganiayaan dalam kalangan anggota Umno di cawangan terbabit.


"Mana-mana cawangan yang mempunyai aduan (masalah) diarah mengadakan mesyuarat semula bagi memberi ketelusan dan keadilan," katanya kepada Bernama ketika ditemui dalam Majlis Mesra Mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Jeli di sini semalam.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata anggota Umno perlu akur dengan jawatankuasa pemilihan tersebut untuk mengelak kontroversi dan sengketa yang hanya akan memburukkan imej parti.

Menurutnya, pemimpin peringkat cawangan dan bahagian yang akan dipilih merupakan barisan pemimpin yang bakal berdepan pilihan raya umun ke-14 dan menjadi penentu kepada kejayaan parti.

"Kita kena pilih pemimpin yang benar-benar bersih, mampu membuat kerja dan komited, bukan yang nak jawatan itu kerana ada motif tertentu," katanya. - BERNAMA