KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang berjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 15 peratus tahun lalu turut membawa kepada penurunan kes membabitkan kanak-kanak, pelajar dan remaja.

Seramai 4,474 kanak-kanak berumur seawal tujuh tahun ditahan dalam pelbagai kes jenayah dari Januari hingga September tahun lalu termasuk 1,847 orang daripadanya merupakan pelajar sekolah.
Jumlah itu berkurangan berbanding 5,531 sepanjang tempoh sama pada 2009.


Statistik Bukit Aman menunjukkan dalam tempoh itu, 135,121 kes jenayah melibatkan golongan terbabit direkodkan berbanding 157,539 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2009, turun sebanyak 22,418 kes.

Dalam tempoh sembilan bulan itu, jenayah kekerasan yang merangkumi kes bunuh, rogol, samun berkumpulan dengan senjata api, samun berkumpulan tanpa senjata api, samun dengan senjata, samun tanpa senjata dan mendatangkan kecederaan turun sebanyak 6,344 kepada 24,065 kes berbanding 30,609 kes pada tahun 2009.

Statistik itu juga menunjukkan 430 kes bunuh, 2,746 (rogol), 76 (rompak berkumpulan bersenjata api), 12,834 (rompak berkumpulan tanpa senjata), 25 (rompakan) 2,831 (rompak tanpa senjata) dan 5,119 (mendatangkan kecederaan).

Mereka turut terbabit dalam 54,170 kes kecurian termasuk 39,856 curi motosikal dan 10,222 curi kereta, 4,742 (ragut), 6,702 (pecah rumah siang hari) dan 19,469(pecah rumah malam hari).
Daripada jumlah mereka yang terbabit, 28 kes melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun, 90 kes (11 hingga 12 tahun), 1,271 (13 hingga 15 tahun) dan 3085 (16 hingga 18 tahun).

Mengulas penurunan kadar jenayah itu, pensyarah kriminologi Universiti Sains Malaysia, Prof Madya P Sundramoorthy berkata, penurunan itu ada kaitan dengan inisiatif kerajaan melalui NKRA yang bertujuan menurunkan kadar jenayah bagi memastikan rakyat sentiasa rasa selamat.

Namun, katanya, masih terlalui awal untuk menilai keberkesanan penurunan itu kerana jenayah dalam kalangan kanak-kanak masih berlaku dan di tahap membimbangkan.

"Kalau melihat dalam tempoh dua tahun itu, masih tidak cukup kerana ia perlu berterusan barulah kesan sebenar hasil langkah yang dilakukan kerajaan itu benar-benar berjaya.

"Namun tidak dinafikan inisiatif-inisiatif yang dilakukan melalui Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi penguatkuasa lain adalah langkah yang baik bagi mengurangkan jenayah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sundramoorthy, berkata, pelajar yang terbabit dalam masalah disiplin di sekolah berpotensi untuk terlibat dalam kes jenayah.

"Lebih dua peratus kanak-kanak terlibat dalam jenayah seawal umur tujuh tahun. Ini perlu dikaji secara mendalam," katanya.

Sundramoorthy berkata, kerajaan harus mendekati mereka yang mempunyai masalah disiplin ini untuk mereka daripada melakukan jenayah.

"Ada langkah-langkah dalam NKRA yang dijalankan itu amat berkesan dan ia perlu ditambahbaik manakala langkah-langkah yang kurang berkesan perlu dikeluarkan atau digantikan dengan langkah yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pembabitan kanak-kanak, pelajar dan remaja dalam kes jenayah merupakan satu trend yang membimbangkan kerana ada pelajar seawal 15 tahun telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah, berjudi serta pelbagai gejala sosial lain.

Nilai murni dan kepatuhan kepada undang-undang, katanya, kini tidak lagi menjadi panduan kepada tingkah laku segelintir remaja.

"Ketika sebuah negara membangun, institusi kekeluargaan menjadi mangsa pertama dengan kanak-kanak tidak mendapat perhatian dan panduan yang cukup yang mengakibatkan kewujudan pelbagai gejala sosial," katanya.

Beliau bimbang 1.27 peratus daripada 5.4 juta pelajar sekolah di negara ini terbabit dalam kes disiplin dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lalu.

"Jika masalah ini tidak dibendung, ia akan menyumbang kepada perpecahan antara kanak-kanak dan keluarga serta peningkatan masalah sosial dan jenayah golongan muda," katanya. - BERNAMA