KUALA LUMPUR: Jenazah pelajar tahun dua Universiti Mu'tah, Jordan, Saiful Asraf Saifuddin yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Isnin lalu, dijangka tiba di tanah air esok.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Amman sedang membuat persediaan untuk menghantar pulang jenazah ke Malaysia.
Saiful Asraf, 22, yang mengikuti pengajian Usul Fiqh dalam jurusan Syariah, maut dalam kemalangan ketika menjemput tiga rakan pengajiannya yang baru tiba di lapangan terbang selepas pulang bercuti di Malaysia.

Kemalangan berlaku apabila kereta sewa yang dinaiki mereka hilang kawalan ketika melakukan pusingan ‘U’ di lebuh raya antara Karak dan Aqaba.

Tiga rakannya, Mohd Hanafi Khalis Zainal Abidin, Nadhirah Husna Ahmad dan Nur Syahirah Saipolbahari hanya mengalami kecederaan ringan.

"Allahyarham berasal dari Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor. Ibu bapa dan ahli keluarga pelajar berkenaan sudah dimaklumkan mengenai kemalangan ini," menurut kenyataan itu. - BERNAMA