Tokyo: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, semalam, berjanji akan menggunakan kekerasan bagi mengusir sebarang usaha kelasi kapal China mendarat di kepulauan Senkaku yang menjadi rebutan dua negara itu.

Ini berikutan laporan lapan kapal China mula belayar ke perairan berkenaan.
Ketegangan terbaru berhubung isu kepulauan terbabit juga berlaku ketika 168 ahli perundangan Jepun, melawat perkuburan perang kontroversi Yasukuni di tengah Tokyo, dilihat sebagai simbol imperialisme masa lalu negara Matahari Terbit itu, membangkitkan kemarahan China dan Korea Selatan. Tokyo memanggil duta Beijing ke Jepun selepas lapan kapal China belayar masuk perairan itu. Flotila itu adalah yang terbesar belayar ke perairan rebutan dalam masa sehari sejak Tokyo memiliknegarakan sebahagian kepulauan itu, September lalu.


Abe, berjanji mengusir secara paksa sebarang pendaratan warga China di kepulauan Laut China Timur itu.

Kami akan ambil tindakan tegas terhadap sebarang cubaan menjejakkan kaki di situ. Kami tidak benarkan sesiapa masuk dan tak akan teragak-agak menggunakan kekerasan untuk mengusir mereka jika cuba mendarat, katanya di Parlimen ketika menjawab soalan ahli dewan.

Cetus perbalahan
Kapal China kerap belayar sekitar lima kepulauan yang dikawal Tokyo sejak beberapa bulan ini hingga men-cetuskan perbalahan diplomatik.

Kapal pengawasan maritim China memasuki zon 12 batu nautika kepulauan yang digelar Diaoyu di China dan Senkaku di Jepun, pada jam 8.00 pagi waktu tempatan, kata pengawal pantai Jepun.

Tindakan kapal China berulang kali memasuki perairan Jepun tidak dapat diterima, kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga.

Sekumpulan nasionalis Jepun berkata, mereka menghantar sembilan kapal ke kawasan sekitar pulau, yang juga dituntut Taiwan.

Kepulauan itu dipercayai dikelilingi kawasan kaya sumber perikanan dan semula jadi di dasarnya.

Hubungan kian keruh

Dalam perbalahan wilayah berasingan, hubungan di antara Tokyo dan Korea Selatan semakin keruh berikutan perebutan kepulauan kecil dikuasai Seoul di Laut Jepun.

Kelmarin, Seoul menangguhkan perjalanan Menteri Luar, Yun Byung-Se, ke Tokyo sebagai membantah kunjungan menteri Kabinet Jepun ke Yasukuni hujung minggu lalu.

Beijing turut membantah lawatan itu, yang dilihat jiran Jepun sebagai simbol penjajahan era perang ketika ia menghormati 2.5 juta mangsa perang, termasuk 14 penjenayah perang.

Jurucakap Menteri Luar China, Hua Chunying, memberitahu wartawan Jepun mesti menebus tindakan masa lalunya.
AFP