Jerebu:  Muar makin 'lenyap' Keadaan jerebu yang teruk melanda bandar Muar sejak awal pagi, semalam.
Muar: Jerebu kian teruk melanda daerah ini apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan tertinggi mencecah 519 pada jam 8 malam tadi.

Keadaan itu menyebabkan had jarak penglihatan hanya kira-kira 50 meter, selain bau asap dan debu yang kuat.
Bilik Gerakan Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar yang di buka di Pejabat Daerah sejak kelmarin, memaklumkan keadaan jerebu yang diklasifikasikan sebagai berbahaya itu didapati terus meningkat.

Keadaan itu boleh menyebabkan masalah pernafasan, selain boleh mendatangkan pelbagai penyakit dengan tanda awal antaranya batuk, sakit mata atau kerongkong dan demam.

Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam, berkata IPU daerah ini mencatatkan bacaan 276 pada jam 7 pagi, diikuti 312 (8 pagi), 338 (9 pagi), 360 (10 pagi) dan 373 (11 pagi dan 12 tengahari) seterusnya 421 pada jam 2 petang.

Katanya, bagi mencegah dan memastikan kesan jerebu dapat dikurangkan, bilik gerakan akan berfungsi untuk merangka pelan tindakan dan melakukan pemantauan membabitkan lapan agensi kerajaan.

Beliau berkata, agensi berkenaan ialah Majlis Perbandaran Muar (MPM), Pejabat Tanah, polis, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Kesihatan, Pejabat pertanian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Buat rondaan, pemantauan

“MPM akan melakukan rondaan dan pemantauan kebakaran terbuka di kawasan pentadbiran masing-masing seperti di tapak pelupusan, tempat buang sampah, tapak pembinaan tepi jalan dan taman perumahan. Mereka juga akan memaklumkan kepada pihak bomba untuk tujuan pemadaman, selain menyembur air di jalan utama dan kawasan pembinaan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Pejabat Tanah pula akan mengarahkan kuari dan lombong untuk mengehadkan aktiviti bagi mengurangkan kesan jerebu, manakala pihak polis akan meronda untuk memantau kegiatan pembakaran terbuka.

Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah pula akan memberi nasihat untuk mengurangkan aktiviti di luar bilik darjah apabila sekolah dibuka, selain mengenal pasti sekolah yang perlu dibekal dengan penutup hidung dan mulut.


IPU meningkat di Sabah, Labuan

Kota Kinabalu: Keadaan jerebu di Sabah dan Labuan semakin buruk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan hampir mencecah tahap kurang sihat.

Jarak penglihatan antara jam 8 pagi dan 12 tengahari semalam, dianggarkan hanya tiga hingga lima kilometer (km), berbanding lebih 10 km bagi jarak penglihatan normal.

Keningau mencatatkan bacaan IPU paling tinggi iaitu 98 pada jam 11 pagi, berbanding 93 pada jam 8 pagi, kurang dua untuk mencecah tahap kurang sihat.

IPU Kota Kinabalu pula ialah 91 pada jam 11 pagi, berbanding 90 pada jam 8 pagi, manakala Labuan merekodkan bacaan 97.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah berkata, keadaan jerebu diramal berterusan beberapa hari bergantung kepada pertukaran tiupan angin dan hujan.

Ikuti perkembangan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jame Alip berkata, pihak sekolah perlu sentiasa mengikuti perkembangan menerusi media dan laman sesawang JAS mengenai bacaan IPU sebelum mengambil sebarang keputusan, termasuk menghentikan aktiviti luar darjah seperti terkandung dalam pekeliling Kementerian Pendidikan.

Di Kuantan, tiga lokasi di Pahang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana sehingga petang semalam, dengan Balok Baru, dekat sini, merekodkan IPU 90, manakala Indera Mahkota dan Jerantut pula masing-masing 80 dan 64.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) supaya tindakan susulan dapat diambil jika keadaan jerebu semakin kritikal di negeri ini.

Di Kota Bharu, Kelantan kini dalam keadaan berjaga-jaga dalam menghadapi pencemaran udara setelah dua kawasan di negeri ini setelah mencatat peningkatan dalam IPU.

Dua kawasan mencatat peningkatan IPU ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Chat, Kota Bharu, dengan bacaan pada jam 7 pagi 54 dan meningkat 57 jam 11 pagi, manakala di Tanah Merah IPU pada jam 7 pagi ialah 67 dan meningkat ke 70 jam 11 pagi.