Melaka Tengah: Kerajaan negeri mengarahkan semua tadika di negeri ini ditutup sementara mulai esok berikutan keadaan jerebu yang kini pada paras berbahaya.

Ketua Menteri, Datuk Wira Idris Haron berkata ia membabitkan semua institusi itu termasuk Tadika Perpaduan, KEMAS dan di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta milik swasta. "Sehingga pagi ini (semalam), purata Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi seluruh Melaka mencatatkan bacaan 381 iaitu satu angka yang kritikal bagi tahap pencemaran udara.


"Oleh itu, sebagai langkah keselamatan, kerajaan negeri sudah mengarahkan supaya tadika di bawah KEMAS, Jabatan Perpaduan, JAIM dan milik swasta ditutup sehingga diberitahu kelak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Satu Tahun Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka 2013 di Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.