INSPEKTOR Mohd Hasnal Jamil, 31, di bawa dari Hospital Tawau ke Hospital Selayang di sini, hari ini. Beliau cedera dalam kejadian serang hendap oleh kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Simunul, Semporna pada Sabtu lalu. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Mohd Hasnal dari Cawangan Khas Bukit Aman yang mengalami beberapa kecederaan termasuk di kaki, kepala dan lengan dalam insiden itu, berkata jiwanya tetap berada di barisan hadapan demi mempertahankan kedaulatan negara.
Mohd Hasnal yang berasal dari Kedah dan sudah bertugas lebih 10 tahun dengan Polis Diraja Malaysia, berlepas ke ibu negara petang tadi untuk rawatan susulan selepas dimasukkan ke sebuah hospital di sini.
Beliau juga berpesan kepada rakan-rakannya supaya meneruskan perjuangan hingga ke titisan darah terakhir demi mempertahankan negara.
Kejadian serang hendap itu mengakibatkan kematian enam anggota pasukan keselamatan dan enam penceroboh.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Mohd Hasnal dibawa ke sebuah hospital dengan menaiki ambulans.
Antara yang melawatnya ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan dan Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah. - BERNAMA