Joko gabenor baru Jakarta Joko (dua dari kanan) tersenyum ketika bercakap pada sidang media di Jakarta semalam.
Jakarta: Datuk Bandar Solo, Joko “Jokowi’ Widodo mengalahkan penyandang, Gabenor Fauzi Bowo dalam undian yang diadakan semalam, lapor satu keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan agensi pilihan raya bebas.

Joko terikat antara 53 dan 54 peratus undian dalam pertandingan gabenor Jakarta, memenangi setiap undian daerah kecuali Thousand Island. Fauzi mengekori dengan 46 hingga 47 peratus undian, demikian menurut keputusan awal.
Undian menyaksikan Datuk Bandar Solo itu menentang penyandang Parti Demokratik dalam apa yang diramalkan sebagai satu persaingan rapat. Kedua-dua calon melakukan kempen secara agresif menjelang undian di mana Joko menjanjikan perubahan dan Fauzi bermegah dengan pencapaian beliau dalam mengetuai ibu negara Jakarta itu.

Orang baru

Akhirnya, pengundi Jakarta memilih orang baru.

Joko berterima kasih kepada pasukan kempen dan penyokong beliau ketika sidang media tengahari semalam, di luar ibu pejabat kempen beliau di Menteng.
“Saya mengharapkan semua sokongan anda,” katanya. “Marilah kita bekerja untuk menjadikan Jakarta lebih baik.”
Beliau menggesa penduduk Jakarta membantu beliau membina sebuah ‘Jakarta baru’ sebelum bersalaman dengan orang ramai yang bersorak sambil lagu Queen, – We Are the Champions dimainkan melalui pembesar suara.

Joko memberitahu pemberita bahawa Fauzi menghubungi beliau melalui telefon untuk mengucapkan tahniah.

Gabenor baru itu juga meminta penyokongnya untuk tidak berlebih-lebih meraikan kemenangannya.

Tak perlu berpesta

“Tidak perlu untuk berpesta, anda boleh mengucap syukur kepada Tuhan kerana kemenangan di kawasan kejiranan anda sendiri,” katanya.

Sambil menantikan keputusan rasmi dari KPU, beliau berjanji akan melawat sebilangan kampung di Jakarta yang mengundangnya ketika kempen undian lalu tetapi beliau tidak mempunyai masa untuk melawatnya sebelum ini.

Fauzi hormati keputusan

Sementara itu, Fauzi memberitahu sidang media selepas itu bahawa beliau percaya dan menghormati keputusan yang menunjukkan kemenangan lawannya.

“Sementara menantikan keputusan rasmi dari KPU, kami mengucapkan tahniah kepada Joko dan berharap mereka boleh melakukan yang terbaik yang dipercayai penduduk Jakarta,” kata Fauzi.

“Marilah menyokong keputusan proses demokratik. Saya menggesa orang ramai meneruskan keamanan,” katanya. “Kemenangan 20 September adalah milik kepada penduduk Jakarta.”

Pejabat KPU Jakarta dijadualkan mengumumkan keputusan rasmi pada 3 Oktober dan gabenor baru Jakarta serta timbalannya akan dilantik pada 6 Oktober. - AFP/Agensi