Kuala Lumpur: Penjualan terbuka air jampi atau 'ruqyah' secara berleluasa dikhuatiri boleh menjejaskan akidah umat Islam apabila mereka percaya penyakit boleh sembuh menggunakan air itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata sewajarnya air jampi tidak dikomersialkan kerana ia boleh menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap perubatan Islam sendiri selain boleh dianggap eksploitasi oleh sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan dengan mudah.
“Contohnya, penjual mendakwa air berkenaan boleh melariskan perniagaan, menyembuhkan penyakit, menjadikan seseorang itu bijak, memelihara rumahtangga dan sebagainya. Sebenarnya jampi hanya dibacakan oleh orang yang selayaknya, mengikut kaifiat serta syarat tertentu.
Sewajarnya air jampi tidak dikomersialkan kerana ia boleh menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap perubatan Islam sendiri selain boleh dianggap eksploitasi oleh sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan dengan mudah” Othman Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM

Khuatir tidak patuh syarat

“Apabila ia dikomersialkan, kita khuatir ia tidak mematuhi syarat dan khaifiat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menytakan akan memantau serta mengambil tindakan terhadap syarikat pengeluar air jampi yang mempamerkan iklan dan testimoni mengelirukan bagi menipu pengguna.

Othman tidak menafikan dalam Islam ada kaedah menggunakan air yang dijampi sebagai penawar atau ubat, namun biasanya pihak yang ingin mendapatkan rawatan perlu bertemu pengamal perubatan terbabit.
“Orang ramai juga boleh berjumpa pengamal perubatan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan kerana mereka lebih dipercayai. Lazimnya orang yang membuat air jampi adalah seorang yang warak dan mustajab doanya di sisi Allah, namun saya nasihatkan tidak perlulah dikomersialkan air jampi,” katanya.