Kuala Lumpur: Seorang jurugambar sambilan, semalam dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah menipu dan menyamar sebagai timbalan pendakwa raya.

Hakim Hasbi Hasan membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan M K Ravi, 45, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Bagi kesalahan menipu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan terhadap Ravi manakala bagi tuduhan menyamar sebagai timbalan pendakwa raya, dia dihukum penjara lima tahun.

Hukuman serentak

Bagaimanapun, Ravi bernasib baik kerana hanya perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun apabila mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula semalam.

Ravi didakwa menipu seorang anggota polis untuk mempercayai dia adalah timbalan pendakwa raya bernama Mohd Sophian Zakaria, yang akan menyelesaikan kes rasuah membabitkan anggota polis itu hingga mendorong anggota polis itu menyerahkan wang berjumlah RM5,000.

BERNAMA