Kuantan: Seorang juruteknik syarikat pet roleum merayu bantuan orang ramai untuk mengesan isterinya, Nur Idayu Abd Aziz, 34 (gambar), didakwa dilarikan warga Indonesia, Jumaat lalu.

Mohd Riduan Abd Razak, 34, yang bekerja di Qatar, mendakwa isterinya dilarikan empat warga Indonesia termasuk seorang wanita yang diupah membuat pengubahsuaian rumah mentuanya di FELDA Bukit Sagu 2 di sini.
Kali terakhir Nur Idayu dilihat berada di Pasar Raya Terus Maju, Bukit Goh di sini, memakai jubah dan tudung merah jambu menaiki kereta Suzuki Swift berwarna putih bumbung hitam dengan nombor pendaftaran WWT 7854.


Ibu kepada tiga anak itu kini didakwa berada di Melaka.

Mohd Riduan yang dimaklumkan oleh ibunya, Rosnah Latif, 50, tiba di tanah air, semalam.

“Saya dimaklumkan seorang daripada lelaki Indonesia terbabit meminati isteri saya tetapi tidak tahu setakat mana kebenarannya.
“Jika benar isteri saya bersama mereka, saya harap mereka tidak melakukan sesuatu yang buruk kerana isteri saya tidak pernah melakukan perkara tidak baik kepada mereka,” katanya, semalam.

Buat laporan polis

Berikutan kejadian itu, ibu Mohd Riduan membuat laporan di Balai Polis Panching, Sabtu lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nur Idayu, boleh menghubungi Mohd Riduan di 09-5478895 atau Shikin (014-8393778/0129487664).

Mohd Riduan berkata, sudah menjadi rutin hariannya menghubungi isteri selepas habis bertugas pada jam 5 petang waktu tempatan (jam 10 malam di Malaysia) untuk bertanya khabar isteri dan tiga anaknya yang ditinggalkan bersama keluarga di tanah rancangan itu.

Bagaimanapun, dia gagal menghubungi isterinya pada Jumaat lalu kerana telefon seolah-olah ditutup. Berikutan itu, dia menghubungi ibunya dan dimaklumkan Nur Idayu belum pulang.

“Bimbang kejadian buruk menimpa isteri, saya mengambil keputusan pulang ke Kuantan untuk mencari isteri yang didakwa berada di Melaka ketika ini,” katanya.

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Rosnaini Razak, 45, berkata Nur Idayu ke rumahnya di FELDA Bukit Goh jam 3.30 petang Jumaat lalu untuk menghantar makanan sebelum memaklumkan akan ke Pejabat Pos untuk membuat penghantaran jubah kepada pelanggan.

“Kelakuannya agak pelik... seperti orang dalam keadaan tergesa-gesa tetapi saya tidak mensyaki sebarang perkara buruk akan menimpa dirinya sehingga Mohd Riduan menghubungi bertanyakan isterinya pada malam kehilangannya,” katanya.