Surat
KARISMA puji Operasi Piramid
2011/02/08
KELAB Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) memuji langkah kerajaan yang segera melaksanakan Operasi Piramid untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Mesir sama ada melalui jalan udara mahupun laut.
Malah kerjasama menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia jelas mempamerkan semangat terpuji yang jitu tanpa meletakkan sebarang syarat mahupun kepentingan politik.
Malah kesediaan untuk menanggung kos pemindahan oleh kerajaan juga menggembirakan rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang kurang mampu.
Kerajaan juga perlu terus menyebarkan maklumat ini agar tidak menjadi masalah dan perselisihan kepada ahli keluarga, terutama soal pemindahan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah dilakukan secara percuma tanpa sebarang caj.
Kerajaan juga menyediakan tempat tinggal, pengangkutan, cukai lapangan terbang, bayaran visa ke Jeddah serta makan dan minum secara percuma kepada mereka.
KARISMA merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada kerajaan atas tindakan proaktif dan kerjasama yang ditunjukkan antara kementerian.
AL AMIN BIN MOHAMED SULTAN
Ahli Jawatankuasa Penerangan KARISMA-JIM