Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mendapatkan pandangan Peguam Negara sebelum memutuskan sama ada merayu keputusan Mahkamah Tinggi semalam membatalkan perintahnya mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengenepikan perintahnya pada 1 Julai 2011 selaku Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan haram.
Perhalusi alasan

Kita akan menyemak dan memperhalusi alasan penghakiman itu dan pada masa sama mendapatkan pandangan Peguam Negara sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rohana Yusof membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman dikemukakan 14 anggota Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan sebagai responden.

Dalam penghakiman 30 muka surat, Rohana berkata, keputusan kerajaan mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai haram dibuat secara tidak rasional tanpa mengambil kira fakta berkaitan.
Beliau berkata, alasan untuk mengeluarkan perisytiharan bagi pengharaman BERSIH 2.0 mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 tidak boleh diubah-ubah dalam masa beberapa hari.

Adalah tidak munasabah bagi sesebuah pertubuhan yang didapati menyalahi undang-undang untuk alasan serius, seperti memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara pada 1 Julai, dan kemudian tidak lagi pada 5 Julai 2011, katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad yang ditemui berkata, keputusan Rohana menjadikan BERSIH kembali kepada status asalnya, iaitu perlu didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan.