Johor Bahru: Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Sdn Bhd diarah membayar RM70.4 juta kepada Hospital Penawar Sdn Bhd oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas didapati melanggar perjanjian usaha sama, yang dimeterai sebelum ini.

Saman itu difailkan Pengerusi Hospital Penawar, Dr Mohd Adnan Sulaiman dan Pengarah Urusannya, Azizan Sulaiman.
Ia berikutan keputusan KPJ untuk menubuhkan sebuah hospital baru di Pasir Gudang pada jarak kurang daripada satu kilometer dari Hospital Penawar yang sedia ada.


Dalam perjanjian itu, yang ditandatangani pada Mei 1995, antara lain menyatakan KPJ, yang memiliki kira-kira 30 peratus saham di Hospital Penawar perlu bertanggungjawab dalam menggembleng sumber dan kepakaran untuk manfaat bersama.

Tawar perkhidmatan sama

Bagaimanapun, pada Oktober 2009 plaintif mendapati KPJ membina hospital baru di Pasir Gudang, yang terletak hanya satu kilometer dari Hospital Penawar dengan perkhidmatan perubatan yang sama.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, dalam penghakimannya berkata KPJ sudah melanggar syarat dalam perjanjian usahasama itu dan perlu membayar ganti rugi RM70.4 juta.
Selain ganti rugi itu, KPJ juga diarah mahkamah supaya membayar faedah tambahan sebanyak lima peratus jika gagal menyelesaikan jumlah itu dalam tempoh dua minggu, selain perlu menjelaskan caj guaman RM150,000 bagi pihak yang menuntut.

Hospital Penawar yang diwakili peguam Datuk Mohammad Adam Abdullah sebelum ini menuntut ganti rugi berjumlah RM155.6 juta, bagaimanapun setelah mendapat laporan pakar bebas, jumlah ganti rugi yang dituntut dikurangkan daripada RM70.1 hingga RM91 juta. - BERNAMA