KWSP tolak borang penamaan ikut pos
Kuala Lumpur: Mulai 1 Ogos ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan menerima borang penamaan waris melalui pos, bagi mengelakkan penipuan.
Pengurus Besar Perhubungan Awamnya, Nik Affendi Jaafar, berkata keputusan itu antara lain bertujuan mengesahkan kesahihan penamaan yang dibuat.
Ini memandangkan maklumat sulit di dalam borang itu akan menentukan penerima simpanan ahli sekiranya berlaku kematian.
"Ahli KWSP juga tidak boleh mewakilkan sesiapa untuk menghantar borang penamaan waris berkenaan dan jika ada yang berbuat demikian, borang mereka akan ditolak," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Nik Affendi berkata, ahli KWSP juga tidak perlu membawa saksi ketika menghantar borang itu jika ia lengkap diisi dengan maklumat tepat sekiranya ada lebih daripada seorang penama.
Ahli KWSP boleh mendapatkan borang KWSP 4 (borang penamaan waris) dari cawangan yang berhampiran atau boleh dimuat turun dari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my atau menghubungi 03-89226000 untuk maklumat lanjut.