Rencana

Kabinet penyatuan nasional

Antara yang paling banyak diperkatakan selepas Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13) ialah tsunami Cina, pelantikan Menteri Besar serta Ketua Menteri dan senarai Kabinet yang akan dibentuk oleh Datuk Seri Seri Najib Razak.

Yang paling mencuri perhatian ialah kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, yang menawarkan dirinya dilantik dalam barisan kabinet Najib.
Ketua Pemuda UMNO itu menawarkan diri untuk apa saja peranan yang boleh membantu dan menyerahkannya kepada Najib menentukannya. Bagaimanapun, menurut Khairy, bukan soal kehadiran Pemuda dalam Kabinet saja penting, tetapi perlunya mempunyai pasukan yang mantap dan bersedia untuk melaksanakan transformasi.


“Saya harap Perdana Menteri akan memilih pasukan yang memahami transformasi dan bersedia untuk melaksanakannya,” katanya.

Bagi Khairy, pasukan itu perlu memahami kehendak sebenar Perdana Menteri untuk membawa transformasi bukan dari segi luaran, tetapi dari segi hakiki, besar pengisiannya dan berbeza daripada Kabinet dulu.

Khairy boleh dikatakan sebagai berani dan terbuka. Belum ada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berbuat demikian. Ia membuktikan Khairy serius dan mahu menyumbangkan khidmat baktinya kepada parti dan rakyat.

Namun, apa yang menarik dalam kenyataan beliau ialah keperluan barisan kabinet Najib yang mantap dan bersedia melaksanakan transformasi. Lebih penting, bagi Khairy sesiapa saja yang dilantik sama ada Menteri atau Timbalan Menteri, mereka perlu memahami apa itu transformasi yang mahu dilaksanakan.
Memang ada kebenarannya kerana transformasi yang dicanang oleh Najib bukan cakap kosong. Ia transformasi menyeluruh daripada segi politik, ekonomi, pentadbiran, pengurusan dan pelaksanaannya.

Perlu diingat, transformasi Najib berpunca daripada keputusan PRU-12 pada 2008. Ketika itu, tsunami politik melanda dan BN dikejutkan apabila hilang majoriti dua pertiga di Parlimen. Tsunami itu memaksa kerajaan dan BN membuat perubahan drastik dalam semua bidang dan Najib mencetuskan pelbagai idea baru dengan harapan keadaan akan berubah pada PRU-13 yang baru saja berakhir.

Nasib masih tidak menyebelahi kali ini apabila BN gagal mendapat majoriti dua pertiga walau pun UMNO berjaya menambah kerusi, sekali gus menyelamatkan BN daripada kalah lebih teruk dan kemungkinan hilang tampuk kuasa politik di Malaysia.

Transformasi menyeluruh

Itulah kepentingan sebenar transformasi yang mahu dibawa Najib, iaitu menunjukkan kepada rakyat, khususnya pengundi bahawa BN serius membawa perubahan. BN dan kerajaan mengakui kesilapan lampau dan mahu memperbaiki diri.

Justeru, barisan Kabinet memerlukan mereka yang mampu membantu Najib dan menggambarkan iltizam sebenar pentadbiran kerajaan untuk membawa perubahan kepada rakyat dan negara, sekali gus bersaing dengan perkembangan semasa dan cabaran mendatang.

Idea baru

Kesetiaan kepada parti dan pemimpin saja bukan ukuran sebenar kerana ia tidak semestinya berupaya membantu kerajaan jika tanpa idea baru dan kepakaran tertentu untuk mencetuskan kelainan, sesuai program transformasi sebenar yang diidamkan oleh Najib.

Kemenangan dengan majoriti besar dalam pilihan raya juga bukan faktor utama kerana yang mengundi bukan kerana personaliti calon semata-mata, sebaliknya pengundi juga memilih parti dan bukan berdasarkan calon sahaja.

Selain itu, kabinet baru harus mampu menyahut cabaran, sesuai dengan kehendak rakyat khususnya golongan muda dan kumpulan berpendapatan sederhana di bandar yang pada pilihan raya lalu beralih kepada pembangkang.

Lebih penting, mereka yang dipilih perlu berupaya memahami senario politik semasa serta mampu menelah apa isu utama dan kehendak rakyat khususnya pengundi pada PRU-14 jika mahu memastikan kerajaan dan BN mendapat sokongan.

Seperkara yang perlu menjadi pertimbangan ialah hakisan sokongan kaum Cina terhadap BN kali ini dan lebih memihak kepada pembangkang. Najib dan barisan kabinetnya nanti pasti menyedari ia antara isu yang perlu diberi perhatian terperinci.

Seperti kata Najib ketika sidang media sejurus mendapat mandat baru pada malam pilihan raya lalu, penyatuan nasional adalah antara agenda yang perlu diberi perhatian. Untuk melaksanakannya, beliau memerlukan sebuah pasukan yang benar-benar mantap dan memerlukan idea baru daripada anggota Kabinet muka baru dan campuran golongan muda.

Turut perlu diberikan perhatian ialah aku janji dalam manifesto BN yang akan menunaikan setiap janji dan Najib sendiri perlu memastikan pasukannya mampu menunaikan dan melaksanakan semua janji berkenaan.

Ia penting kerana barisan Kabinet Najib bakal diletakkan dalam radar setiap pengundi yang kemudian akan memberikan markah ketika mereka mengundi parti yang akan memerintah negara pada PRU akan datang.

Justeru, jika ada yang tidak terpilih kali ini, mereka seharusnya tidak kecewa, sebaliknya faham bahawa Najib perlu membuat pilihan tepat bagi menentukan kesinambungan kerajaan BN pada pilihan raya akan datang. Bagi yang terpilih pula, tanggung jawab mereka akan lebih besar dan mencabar, sesuai dengan janji Najib bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua.

CARIAN

BH LIVE

Twitter

Facebook