Kenaikan 0.1 peratus kereta nasional, import 0.25 peratus

KADAR faedah pinjaman sewa beli kenderaan akan dinaikkan antara 0.1 peratus dan 0.25 peratus berkuat kuasa Isnin ini sejajar kenaikan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kenaikan itu oleh bank tempatan baru-baru ini.

“Berkuat kuasa 7 Jun, kadar faedah pinjaman sewa beli bagi kereta nasional baru dinaikkan 0.1 peratus, manakala bagi kereta bukan nasional baru pula, dinaikkan pada kadar 0.25 peratus.

“Secara umumnya, bagi pinjaman sewa beli kereta nasional baru bagi tempoh sembilan tahun kadarnya akan dinaikkan kepada 4.1 peratus; tujuh tahun kepada kepada 4.0 peratus dan lima tahun kepada 3.85 peratus.

“Bagi kereta bukan nasional, bagi sewa beli dengan tempoh sembilan tahun, kadarnya dinaikkan kepada 3.85 peratus; tujuh tahun kepada 3.75 peratus dan lima tahun kepada 3.5 peratus,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Bank Negara Malaysia 13 Mei lalu, menaikkan OPR, iaitu penanda aras yang digunakan bank tempatan untuk menentukan kadar faedah masing-masing, sebanyak 0.25 peratus kepada 2.5 peratus dalam usaha menaikkan kembali kadar faedah ke paras wajar selepas penurunan drastik dibuatnya tahun lalu bagi menampan kesan krisis kewangan global.
Aishah menegaskan, kadar faedah pinjaman sewa beli baru itu akan merapatkan jurang antara kadar yang dikenakan ke atas kereta nasional baru dengan kereta bukan keluaran tempatan yang ketika ini adalah lebih rendah.

Beliau turut melahirkan keyakinan kenaikan itu dijangka tidak menjejaskan jualan kenderaan kerana ia adalah kecil.

Justeru, katanya, MAA tidak akan menyemak semula unjuran jualan keseluruhan kenderaan bagi tahun ini sebanyak 550,000 unit.

Tahun lalu, jumlah jualan kenderaan di negara ini adalah sebanyak 536,905 unit.

Jumlah jualan kenderaan dalam tempoh kira-kira lima bulan tahun ini pula adalah lebih 196,000 unit, lebih tinggi berbanding jualan dalam tempoh sama tahun lalu iaitu kira-kira 162,000 unit.

Perkara sama turut dipersetujui firma penyelidikan, HwangDBS Vickers Research Sdn Bhd.

Mengikut firma itu, ia adalah kenaikan kecil dan tidak akan menjejaskan jualan kenderaan.

“Sebagai contoh, bagi pinjaman sewa beli kereta nasional sebanyak RM100,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun, kenaikan itu akan membabitkan bayaran tambahan RM9 sebulan.

“Bagi pinjaman untuk kereta bukan nasional dengan jumlah dan tempoh bayaran balik yang sama, bayaran tambahannya adalah RM20 sebulan,” katanya.

Mengenai kesannya kepada keuntungan bank, HwangDBS berkata, ia akan memberi manfaat kepada bank yang mempunyai pendedahan besar dalam perniagaan sewa beli seperti Public Bank yang menguasai 26 peratus pasaran, AMMB (21 peratus pasaran) dan Maybank (17 peratus pasaran).