Lelaki dan wanita komited dengan kerjaya tak anggap hidup berumah tangga penting

TENGOK rupa memang tiada cacat cela, orangnya ayu, cantik, serba sempurna, tetapi mengapa masih hidup membujang.
Ketika terpandang pula kepada si lelaki yang kacak, miliki kerjaya yang baik, tempat tinggal selesa, mampu berkereta besar, tetapi belum memiliki suri penghias rumah tangga, timbul pula persoalan, susah ke mencari teman hidup.
Bilangan wanita berpendidikan tinggi sekarang lebih ramai berbanding lelaki, begitu juga dari segi kerjaya, ramai wanita yang memegang jawatan tinggi. Faktor ini juga antara sebab wanita sukar mencari pasangan yang sama taraf.

Antara lelaki dan wanita, sudah ada trend kini ingin mengekal status teruna dan dara sehingga ada yang enggan memikirkan soal kahwin.

Mengapa mereka tidak mempunyai keinginan berumah tangga, inilah isu yang hendak Kak Ani Kongsi Rasa minggu ini.

Biasanya apabila seseorang lelaki atau wanita tidak menunjukkan minat untuk berumah tangga, kita akan mengaitkannya dengan sejarah silam mereka.

Mungkin mereka pernah putus cinta, putus tunang atau kematian orang disayangi kerana takdir, sebagai punca untuk terus kekal hidup sendirian.
Selain faktor itu ada juga yang takut untuk mendirikan rumah tangga kerana banyak terpengaruh dengan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam masyarakat sekarang, selain memiliki latar belakang keluarga yang porak-peranda dan menjadi mangsa perceraian ibu bapa.

Banyaknya kepincangan rumah tangga sehingga membawa kepada perceraian, lelaki suka mendera isteri atau si isteri tidak setia kepada suami kerana menemui lelaki lain atau kembali kepada kekasih lama, antara isu yang membuatkan golongan ini lebih memilih hidup sendirian.

Seorang pemandu teksi yang dikenali sebagai Amin mengakui sukar memahami kehendak muda mudi sekarang.

“Sebagai bapa, kita tidak boleh menentukan jodoh anak, kerana tidak semua anak akan menurut kehendak kita. Mereka tidak boleh dikongkong seperti generasi terdahulu. “Kebanyakan anak kita bekerja dan mempunyai ramai kenalan di luar. Sukar untuk kita tentukan jodoh mereka, biarlah mereka buat pilihan sendiri,” katanya.

Menurut Amin antara lelaki dan wanita sekarang tiada beza dalam memilih jodoh.

“Dulu memang ada peranan ibu bapa mencari jodoh anak mereka. Kini amalan ini amat kurang dan ini mungkin juga antara penyebab ramai gadis menjadi andartu,” katanya.

Selain faktor itu, ramai generasi muda sekarang menghabiskan sebahagian besar hidup mereka menimba ilmu pengetahuan dan komited kepada kerjaya.

“Apabila seseorang wanita yang belajar di universiti sibuk dengan pengajian hingga lupa mencari pasangan hidup, kesannya mereka sukar untuk mencari teman apabila sudah habis belajar.

“Golongan ini bukan memilih pasangan, tetapi lelaki gerun untuk melamar kerana status mereka yang lebih tinggi dari segi akademik,” kata Amin lagi.

Bilangan wanita berpendidikan tinggi sekarang lebih ramai berbanding lelaki, begitu juga dari segi kerjaya, ramai wanita yang memegang jawatan tinggi.

Faktor ini juga antara sebab wanita sukar mencari pasangan yang sama taraf.

Dalam keadaan jumlah wanita melebihi lelaki, memang memberi kelebihan kepada lelaki untuk memiliki lebih daripada seorang isteri.

Walaupun hidup berpoligami dibolehkan dalam Islam, tidak ramai wanita yang bersedia menamatkan zaman bujang dengan berkongsi kasih.

Golongan yang berkerjaya lebih memilih untuk menjadi andartu daripada menjadi perampas suami orang yang bukan membawa kebahagiaan berumah tangga, sebalik meracun hidup mereka.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Az, 50, mengaku sudah terlewat untuk menjadi isteri orang.

Pada usia remaja dulu, dia tidak nafikan ada lelaki yang bertakhta di hatinya, tetapi harapan untuk hidup bersama musnah apabila lelaki itu mengambil keputusan berkahwin dengan gadis lain.

Selepas putus cinta, sukar bagi Az mempercayai lelaki. Baginya semua lelaki sama, suka mengambil kesempatan di atas kelemahan wanita.

Apabila melihat ada rakan yang merana kerana bersuamikan lelaki tidak bertanggungjawab, Az tidak berasa rugi hidup sendirian hingga kini.

Walaupun tidak bersuami, Az membuktikan keupayaannya menjadi ‘ibu’ kepada sepupu yang dididik sejak bayi.

Budak yang ketandusan kasih sayang kerana memiliki adik beradik ramai, diberi pendidikan dengan sebaiknya.

Berkat kesabaran Az, adik sepupu berjaya menyambung pelajaran ke menara gading dan kini sudah bekerja dan mempunyai keluarga sendiri.

Az berjaya buktikan, anak jika diberi tumpuan yang baik oleh penjaga mampu menempa kejayaan dalam hidup.

Kak Ani perhatikan ramai wanita berkerjaya lebih mengutamakan ibu bapa, adik dan meletakkan diri sebagai penyumbang ekonomi merubah nasib keluarga.

Bagi yang tidak berdepan dengan tanggungjawab ini, lebih suka menghabiskan masa terluang melancong ke luar negara. Golongan ini biasanya mempunyai kumpulan tersendiri untuk menjayakan hobi melancong.

Selain isu tidak berumah tangga, wujud trend di kalangan terunatu dan andartu mengambil anak angkat sebagai jalan mengatasi kesunyian.

Lelaki biasanya akan mengambil anak angkat lelaki, manakala perempuan pula tidak begitu memilih jantinanya.

Kehidupan begini mungkin dianggap suatu kebiasaan tanpa kita sedar ia tidak mengikut sunnah Rasulullah.

Mengapa masyarakat sekarang menyulitkan soal berkait perkahwinan dengan pelbagai syarat yang sukar digapai, sedangkan untuk melakukan maksiat, tidak sedikitpun ada perasaan malu dalam diri.

Pasangan hidup bebas sudah jadi fenomena biasa, malah ada yang tidak malu menghebahkan hubungan intim itu.

Yang menghairankan apabila si anu dan si polan yang dulu intim tidak lagi bersama kononnya sudah tidak sehaluan, mereka berani menghebahkan perpisahan itu kepada umum.

Bagi Kak Ani, selagi tiada ikatan sah, pasangan itu tak perlulah pukul canang.

Kita ini orang timur yang tebal nilai adat dan budaya serta berpegang kepada agama, tidak harus mengagungkan nilai hidup yang mengamalkan hidup bebas.

Ingatlah hidup kita di dunia hanya sementara. Gunakanlah masa yang diamanah ini dengan sebaik-baiknya supaya tidak menyesal nanti.