Kaji Miss World di Bali
Denpasar/Jakarta: Kerajaan masih menimbang keputusan untuk menganjurkan pertandingan ratu cantik Miss World ketika bantahan daripada beberapa kumpulan Islam semakin meningkat, menurut satu laporan kelmarin.

“Kerajaan masih mengkajinya namun pentadbiran peringkat wilayah menyokongnya,” kata Menteri Memperkasa Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak, Linda Agum Gumelar.
“Kami juga akan mempertimbangkan tempoh masa untuk persediaan dan jumlah negara yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu.”

Majlis di Bali, Bogor

Acara Miss World itu dijadualkan diadakan di Bali dan Bogor. Peserta akan dikuarantin di Nusa Dua, Bali selama dua minggu dan pemenang akan dimahkotakan pada peringkat akhir pertandingan 28 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sentul di Bogor.

Linda berkata, penganjur bersetuju meminta acara itu menghormati budaya dan etika Indonesia, termasuk jaminan tiada pemakaian bikini.

“Kami diberi jaminan peserta tidak perlu memakai bikini. Peserta malah memakai produk Indonesia. Bagaimanapun, ketika ini kami masih mengumpul pendapat awam,” katanya.
Isnin lalu, Gabenor Bali, I Made Mangku Pastika menyuarakan sokongannya terhadap acara itu, mempertikaikan bahawa ia akan mewakili Bali dan Indonesia dengan cara positif.

“Apa yang salah dengan pertandingan Miss World? Apa alasan di sebalik bangkangan dan bantahan?” tanya beliau.

“Peserta akan mematuhi tradisi dan budaya Bali. Pertandingan Miss World tidak akan memberi kerugian kepada Bali atau Indonesia,” tambahnya, sentimen yang disokong Linda di Jakarta, kelmarin.

Ia sebaliknya, kata Pastika, meningkatkan nama Bali dan Indonesia dari segi reputasi dan profil pada peringkat antarabangsa.

Undang bantahan

Pertandingan ratu cantik dunia Miss World mengundang kritikan daripada kumpulan tegar Barisan Pertahanan Islam (FPI), Forum Islam Rakyat (FUI) dan Majlis Ulema Indonesia (MUI) yang sederhana.

“Kami menolak Miss World dan aksi tidak bermoral. Kami mahu mengekalkan hukum syariah di Indonesia,” kata Muhammad Al Khaththath, Setiausaha Agung FUI, merujuk kepada undang-undang Islam.

Kelmarin, 200 orang dikaitkan dengan pelbagai kumpulan membantah di bulatan lalu lintas Hotel Indonesia dan Menara MNC, kedua-duanya di Jakarta Pusat.

Menara MNC milik jutawan media Hary Tanoesoedibjo, pemilik RCTI, saluran televisyen tempatan yang akan menyiarkan pertandingan itu.

Kira-kira 150 pegawai polis dikerahkan untuk memantau bantahan.

Khaththath berkata bantahan akan diteruskan pada Jumaat dan berarak dari bulatan Hotel Indonesia ke Menara MNC, sebelum pergi ke ibu pejabat Polis Nasional di Jakarta Selatan.

AGENSI