KUALA LUMPUR: Hasil kajian empirikal yang membayangkan sokongan rakyat sudah kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus diterjemahkan anggota UMNO dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu, semua
anggota parti harus bekerja keras bagi memastikan sokongan terbabit terus kekal
bersama UMNO dan BN apabila pilihan raya berlangsung.
Katanya, berdasarkan kajian oleh panel pemikir yang diarahkan PAS Pusat,
sebanyak 56.1 peratus setuju DAP cuba menghakis Ketuanan Melayu serta DAP
adalah parti cauvinis.
"Dari kajian terbabit juga, sebanyak 54.2 peratus bersetuju UMNO membela hak
dan ketuanan Islam, serta 54.1 peratus bersetuju Perdana Menteri (Datuk Seri
Najib Razak) berjaya memulihkan kembali sokongan rakyat yang terhakis
dahulu," katanya semasa menggulung perbahasan, pada Perhimpunan Agung UMNO 2011
di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Beliau berkata, kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kendalian Prof
Datuk Dr Syed Arabi Syed Abdullah Idid pula menunjukkan rakyat Malaysia kembali
yakin dengan prestasi BN masa kini.
"Pada 2011, 86 peratus yakin Malaysia diurus dengan baik oleh BN. Pada 2010, 77 peratus saja menaruh keyakinan pada penterjemahan program (Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik), tetapi tahun ini angka meningkat sebanyak 82 peratus.
"Malah, penerimaan rakyat terhadap konsep 1Malaysia diterima baik oleh
rakyat Malaysia, iaitu sebanyak 85 peratus pada tahun ini berbanding 75 peratus
pada tahun lepas," katanya.
Ahmad Zahid berkata, berdasarkan keputusan kajian terbabit, potensi UMNO dan
BN untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang amat besar.
"...potensi tidak ada hanya pada Presiden, atau Timbalan Presiden, atau
Naib-naib Presiden atau Anggota Majlis Tertinggi, atau Menteri, potensi ada pada
kita semua termasuk pemimpin di peringkat Bahagian dan Cawangan," katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada 'tentera baru' UMNO dan BN iaitu
pengamal media sosial seperti pengguna Twitter, blogger dan Facebook.
"Kita mesti hargai bala tentera siber kita yang berjuang untuk kita, bantu
kita tanpa upah, tanpa tidur, tanpa ganjaran untuk mereka.
"Kita mesti akui peranan media baru sebagai alat komunikasi penting masa
kini, dan ia boleh menentukan kejayaan dan kegagalan sesebuah parti memerintah
negara," katanya. - BERNAMA