Nasional

Kaut RM9j jual tapak bazar Ramadan VIP



Orang tengah sewakan kepada peniaga luar RM30,000 sebulan

Kuala Lumpur: Orang tengah yang menjual ‘tapak bazar Ramadan VIP’ di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman dan Masjid India, di sini dipercayai mampu memperoleh keuntungan atas angin sekitar RM4.5 juta hingga RM9 juta.

Jumlah berkenaan berdasarkan anggaran 300 tapak bazar Ramadan termasuk berstatus ‘VIP’ disewakan kepada peniaga lain dengan harga sekitar RM15,000 hingga RM30,000 sepanjang Ramadan ini.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah, ketika ditemui semalam, berkata perbuatan itu bukan saja menguntungkan pihak tertentu, malah turut menindas peniaga kecil terutama Bumiputera.

“Bayangkan untuk memiliki tapak perniagaan di sini mereka hanya perlu mengeluarkan modal kira-kira RM300, kemudian jual kembali tapak bazar berkenaan kepada peniaga pada harga RM15,000 hingga RM30,000. Tapak ini biasanya berikan secara terus kepada individu dan persatuan tertentu tanpa perlu proses pengundian,” katanya.

Sehubungan itu, Ridzuan menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan bagi memastikan peranan orang tengah yang mengaut untung ‘atas angin’ sehingga mencecah jutaan ringgit dapat dibanteras.