Kebakaran hutan  AS merebak ASAP berkepul di kawasan kebakaran di Hutan Gila di New Mexico. Kebakaran hutan kini melanda enam negeri di Amerika Syarikat.
SANTA FE: Kebakaran hutan melanda enam negeri di Amerika Syarikat sejak empat hari lalu, sudah memusnahkan kawasan seluas lebih 520 kilometer persegi dengan keadaan di wilayah pergunungan di barat daya New Mexico dilaporkan semakin tidak terkawal.

Usaha mencegah kebakaran daripada terus merebak di kawasan yang tidak ramai penduduk di Arizona, Colorado, Michigan, Nevada, New Mexico dan Utah terjejas akibat angin kencang dan keadaan kering lewat musim bunga.
Beberapa bandar kecil termasuk bandar perlombongan bersejarah Wild West di Mogollan, kini sunyi sepi, apabila beratus-ratus penduduk diarahkan berpindah apabila kebakaran semakin merebak.

Kebakaran Kompleks Whitewater-Baldy New Mexico, yang bermula akibat dipanah petir 10 hari lalu, merebak ke seluruh kawasan seluas 33,286 hektar hingga Jumaat lalu dan pihak berkuasa berkata kawasan yang terjejas mungkin lebih besar daripada yang dianggarkan.

“Kita tahu keadaan semakin serius sejak semalam malangnya kami tidak memiliki angka sebenar,” kata Pegawai Maklumat Kebakaran, Dan Ware.
Beliau berkata, lebih 580 anggota bomba dan kakitangan sokongan kini bertungkus-lumus memadam kebakaran.

“Ini adalah kebakaran terbesar dari segi saiz setakat ini, jadi kami boleh mendapat semua bentuk bantuan yang diperlukan, malangnya kami tidak pasti sama ada dapat memadamkan kebakaran menggunakan kapal terbang,” katanya.
Beliau berkata anggota bomba sukar untuk sampai ke lokasi kebakaran berikutan ia berlaku di kawasan yang sangat curam, berbatu dan tidak dapat dilalui, selain tidak dapat mencari jalan pintas.

“Kebakaran yang berlaku sangat besar, sehingga menyebabkan kami terpaksa mengundurkan pasukan bomba. Kami menjangka satu lagi hari seperti hari ini.

“Dengan angin kencang dan kelembapan rendah ada potensi besar untuk kebakaran menjadi semakin tidak terkawal,” katanya.

Asap daripada kebakaran di New Mexico merebak ke utara ke kawasan metropolitan Denver kelmarin, ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran berasingan di sempadan Utah-Colorado.

“Kebakaran seluas 1,133 hektar berlaku di kawasan terpencil berhampiran Paradox, Colorado, manakala di utara Michigan, hutan yang terbakar sudah mencapai 4,600 hektar, ” kata jurucakap Perkhidmatan Hutan Amerika, Steve Segin.

Katanya hanya ada beberapa ladang terpencil di kawasan itu dan tiada struktur yang hilang setakat ini, walaupun kebakaran akibat angin amat besar,
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menyatakan kebanyakan kawasan di barat Colorado diletakkan di bawah amaran ‘bendera merah’ untuk kebakaran hutan akibat suhu panas, kelembapan rendah dan angin kencang. – Reuters