COLORADO: Lebih 32,000 penduduk terpaksa dipindahkan manakala banyak rumah musnah ketika kebakaran hutan di Colorado Springs semakin merebak dan disifatkan gabenor negeri itu, John Hickenlooper, seperti pencerobohan tentera.

Laporan stesen televisyen KDVR menyatakan, Sherif El Paso berkata kebakaran sudah merebak sehingga lebih 2,630 hektar setakat ini.
“Banyak rumah musnah dalam kebakaran,” kata Datuk Bandar Colorado Springs, Steve Bach, kepada KDVR.

Seramai 2,100 dipindahkan dari Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat, yang terletak di utara Colorado Springs. Akademi berkenaan lewat kelmarin berkata pegawai mengarahkan pangkalan itu ditutup untuk operasi biasa semalam, dengan kakitangan penting saja melaporkan untuk bertugas.

Sementara itu, pihak berkuasa di tengah Utah menemui mayat seorang wanita kelmarin ketika kembali ke kawasan diarahkan berpindah, menjadikan ia kematian pertama dalam kebakaran yang sudah memusnahkan 12 rumah dan dilihat menjadi lebih buruk.

Di bahagian barat, pasukan bomba berhempas pulas mengawal kebakaran di Colorado, Utah dan beberapa negeri di Rocky Mountain.

Colorado mencatatkan suhu lebih 100 darjah Celsius sejak seminggu lalu, mencetuskan faktor dahsyat kebakaran hutan di seluruh negeri dan mencabar pasukan bomba.
“Apabila keadaan panas, ia kering dan mudah untuk api merebak,” kata jurucakap bomba bagi Perkhidmatan Hutan Amerika, Steve Segin.

Seluruh Utah dan sebahagian besar Wyoming, Colorado dan Montana diletakkan dalam amaran bendera merah, bermakna keadaan panas, kering dan mudah terjadi kebakaran.

Kelmarin adalah hari kelima berturut-turut suhu dicatat 100 darjah atau lebih tinggi di Denver, menyamai rekod pada tahun 2005 dan 1989. Isnin lalu, Denver mencatat rekod dengan suhu setinggi 105 darjah.

Kawasan lain di negara itu turut mencatatkan suhu melebihi 100 darjah kelmarin, termasuk di bandar Wray, mencecah 108 darjah, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.

“Apa yang dilihat sekarang ialah kemuncak kepanasan luar biasa berikutan berdekad corak kepanasan,” kata ketua pemantau suhu di Pusat Data Suhu Kebangsaan di Ashville, Derek Arndt.

Kepanasan tidak dijangka berkurangan dalam masa terdekat. Segin berkata, keadaan memberikan kesan teruk secara fizikal kepada pasukan bomba yang berusaha sepanjang hari dan mengangkut peralatan berat.

Video televisyen menunjukkan asap dan api semakin menghampiri rumah di kawasan penempatan berdekatan hutan di barat laut Colorado Springs.

Dua pesawat kargo C-130 Tentera Udara dikerah membantu memadamkan kebakaran dan yang ketiga dijangka sampai lewat semalam.

Pada jarak 352 kilometer persegi kebakaran di High Park di utara Colorado, pihak berkuasa menambah rumah yang musnah kepada 257, berkata mereka menemui sembilan lagi rumah yang tidak dikira sebelum ini. Angka itu adalah yang tertinggi dalam sejarah kebakaran hutan di negeri itu. – Agensi