Kuala Lumpur: Kejayaan dasar dan Program Transformasi Ekonomi yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa membuktikan pengurusan cekap kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Malah, pencapaian berkenaan menunjukkan Malaysia berada di landasan tepat dan selamat mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Pelabur mula buka mata


Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Barjoyai Bardai, berkata pengiktirafan terhadap dasar Malaysia juga menunjukkan pelabur asing mula membuka mata untuk meninjau potensi di negara ini.

Walaupun dunia berdepan persekitaran ekonomi global semasa yang mencabar berikutan krisis hutang di Eropah dan pertumbuhan perlahan ekonomi Amerika Syarikat (AS), kerajaan kita masih mampu untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik, katanya.

Beliau mengulas mengenai pelbagai pujian diberikan media asing terhadap Malaysia dan kemantapan ekonominya sejak kebelakangan ini.

Ledakan melawan graviti
Terbaru, artikel Jeremy Grant dalam Financial Times berkata, ekonomi Malaysia menikmati ledakan melawan graviti yang mengejutkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua menunjukkan ekonomi berkembang 5.4 peratus melebihi jangkaan ramai.

Barjoyai yang juga Pengarah Pusat Pengajian Siswazah UNITAR menyarankan kerajaan terus menguruskan ekonomi dengan telus, terutama dari aspek pengagihan pendapatan yang seimbang.

Pengiktirafan terbaik

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata pujian media asing adalah satu pengiktirafan antarabangsa yang membanggakan.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, ia juga membuktikan kepemimpinan negara sentiasa merancang ekonomi dengan cara terbaik.