Kedai 'pandu lalu' diserbu Ketua Polis Balai Gerik, Inspektor Zaharin Abdul Rahman menunjukkan rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas di FELDA Bersia, Gerik. - Foto DJ Dolasoh
Gerik: Rahsia seorang lelaki yang menjadikan rumahnya sebagai kedai 'pandu lalu' menjual rokok seludup pada harga murah sejak beberapa bulan lalu terbongkar apabila diserbu, semalam.

Kegiatan dibongkar selepas anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik melakukan serbuan ke rumah suspek di FELDA Bersia, di sini, pada jam 12.30 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, suspek berusia 49 tahun tidak sempat melarikan diri sebelum diberkas oleh anggota polis.


Sorok rokok di dapur

“Hasil serbuan menemui 1,300 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM5,000. Suspek didapati menyimpan rokok seludup itu di bahagian dapur dan ruang tamu rumahnya bagi memudahkannya menjual rokok seludup itu kepada orang ramai yang melalui hadapan rumahnya.

“Dia mengaku menjual pelbagai jenama rokok seludup yang diperoleh daripada pembekal di Taiping dan Ipoh sejak be-berapa bulan lalu,” katanya di sini semalam.

Manab berkata, lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki bahan seludup tanpa cukai Kastam.