Keganasan meledak lagi di selatan Thai Suami guru yang mati ditembak menitis air mata di sebelah mayat isterinya di Narathiwat.
Bangkok: Keganasan baru meletus lagi di selatan Thailand selepas seorang guru wanita ditembak mati dan sebuah sekolah dibakar.

Guru berusia 32 tahun ini ditembak di daerah Cho Airong, Narathiwat, semalam meskipun kawalan keselamatan diperketatkan di seluruh selatan Thailand.
Chatsuda Nilsuwan yang mengajar di sekolah Ban Ta-ngo, ditembak empat kali seorang penunggang motosikal ketika dalam perjalanan pulang.

Saksi berkata, guru itu juga menaiki motosikal dan tidak diiringi askar kerana pulang lewat.

Sementara itu, perbuatan membakar sekolah di daerah Panare, Pattani, semalam juga menjejaskan pembukaan semula kelas di 332 sekolah selepas ditutup seminggu kerana pembunuhan seorang lagi guru pada 22 November lalu, lapor Bangkok Post.

Serangan itu dilakukan oleh 15 lelaki bertopeng dan menyebabkan bilik guru musnah.

Penyerang memasuki sekolah pada 1.20 pagi dan menahan kakitangan sekolah yang ada.
Mereka mengikat kakitangan terbabit di depan sekolah sebelum membakar bilik guru.

Mereka beritahu mahu membakar sekolah dan mengarahkan kami tidak menjerit meminta bantuan, kata seorang kakitangan sekolah, Dolo Hama.

Anggota bomba yang dipanggil berjaya memadamkan api sebelum ia merebak ke seluruh bangunan.

Antara yang rosak termasuk peralatan mengajar 18 komputer tablet dalam bilik guru itu.

Semua sekolah di Panare ditutup minggu lalu selepas seorang pengarah sekolah ditembak mati seorang penyerang di daerah Nong Chik.

Persekutuan Guru Wilayah Selatan bersetuju menyambung kelas selepas Kementerian Pendidikan menjamin kawalan keselamatan lebih baik.

Anggota keselamatan akan mengiringi guru pulang dari kelas.
Agensi