TEMERLOH: Kehadiran sejumlah besar anggota polis pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau bukan untuk menakutkan pengundi tetapi bagi menjamin keselamatan mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia sebagai
langkah berwaspada oleh pihak polis kerana jika berlaku sesuatu insiden, polis
akan dituduh gagal menjalankan tugas terutamanya oleh pembangkang.
"Kalau ada insiden, polis yang pertama kena tuduh (kerana didakwa gagal
menjalankan tugas) terutamanya dari pembangkang. Lebih baik (polis) berwaspada,"
katanya selepas melawat anggota Pasukan Konstabel Khas pada zaman darurat, Taib
Yusof di Desa Murni, Kerdau di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai kehadiran
anggota polis yang ramai dengan kelengkapan, kereta peronda, motosikal anggota
trafik dan Polis Simpanan Persekutuan yang mencetuskan persepsi seolah-olah mahu
berperang.
"Jadi semuanya berkisar pada (kepentingan) orang ramai. Kalau nak kata polis
wujud suasana tegang, itu tak mungkin kerana orang ramai tau polis yang ramai
menjamin keselamatan untuk keluar mengundi," katanya.
Hishammuddin berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan keselamatan di
Kerdau tetapi beliau akan menerima maklumat terperinci di Markas Taktikal Polis
(Martek) di sini esok.
Beliau berharap proses pengundian berjalan lancar Ahad ini. - BERNAMA