Kelab Putera 1Malaysia bantu Rohingya
Kuala Lumpur: Kelab Putera 1Malaysia yang dalam perancangan membantu masyarakat Rohingya yang menjadi mangsa kekejaman etnik di Myanmar merayu sumbangan makanan daripada rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada golongan itu.
Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata beliau ada menemui pelarian Rohingya yang berjaya melarikan diri ke Malaysia dan dimaklumkan keadaan di sana semakin kritikal kerana kekurangan makanan.
“Kalau rakyat Malaysia tidak mahu sumbangkan duit, mereka boleh membeli barang makanan seperti beras dan tepung. Dari segi makanan ia mudah kerana makanan asasi orang Rohingya sama dengan kita,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.
Beliau berkata, selain makanan, keperluan utama lain yang diperlukan ialah minuman, ubat, pakaian, makanan dan susu bayi, katanya.
Abdul Azeez berkata pasukan terdiri daripada 10 doktor serta 10 sukarelawan dari kelab akan berada di sempadan Bangladesh/Myanmar dalam tempoh seminggu dari sekarang atau selepas Aidilfitri nanti.
“Ini adalah misi negara yang ke-27. Kita akan pastikan segala aspek keselamatan dipatuhi dengan ketat kerana tidak mahu insiden tembakan Somalia daripada berulang,” katanya.
Abdul Azeez berkata wartawan turut dijemput tetapi terpulang pada pertubuhan media yang berminat dan beliau akan berjumpa dengan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk membincangkan perkara tersebut. - BERNAMA