Kelancaran Olimpik kejayaan sebenar penganjur

Kelancaran Olimpik kejayaan sebenar penganjur

Azman Abd Hamid
azmanabdulhamid@bharian.com.my
2012/08/16

Beribu-ribu anggota keselamatan berkawal elak perkara tak diingini

Kejohanan Olimpik yang baru berakhir tentu memberi kenangan manis kepada peminat sukan tanah air sekalipun kita hanya menang satu pingat perak dan satu pingat gangsa. Biasalah, apabila sesuatu pertandingan berakhir, penilaian semula prestasi perlu dilakukan. Mengapa gagal dapat pingat emas, mengapa gagal layak ke pusingan akhir, mengapa begitu dan mengapa begini.

Sudah jadi adat permainan, ada yang menang dan kalah. Penulis yakin, Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong pun akan menilai prestasi masing-masing meskipun menang pingat. Malah, jika ada atlit menang pingat emas, persoalan seterusnya akan dilemparkan, bolehkah pertahankan pingat itu dalam kejohanan akan datang?

Dibandingkan dengan jiran terdekat, kita boleh berbangga. Thailand pada kedudukan ke-57 dengan dua pingat perak dan satu gangsa, kita dan Indonesia pada tempat ke-63 dengan satu perak dan satu gangsa manakala Singapura di kedudukan ke-75 dengan dua pingat gangsa.

Sebenarnya jika sesiapapun masuk bertanding dalam apa juga kejohanan, besar atau kecil, orang itu pasti mahu menang. Tidak ada siapa mahu pulang dengan tangan kosong.

Apa yang lebih penting ialah kejohanan Olimpik 2012 berjalan lancar tanpa masalah. Itulah kejayaan terbesar Olimpik kali ini selepas banyak pihak banyak menguar-uarkan ancaman keselamatan daripada militan atau pelampau Islam.

Media Barat awal-awal lagi mengaitkan ancaman itu dengan apa yang berlaku ketika kejohanan Olimpik di Munich 1972 apabila kumpulan ‘Black September’ membunuh 11 atlit dan jurulatih Israel serta seorang anggota polis Jerman Barat.

Tidak hairanlah langkah keselamatan tuan rumah Britain diberi tumpuan. Daripada meletakkan penembak tepat atau anggota keselamatan di bumbung bangunan dekat tempat kejohanan atau stadium hinggalah prosedur keselamatan di tempat penginapan atlit, diberi perhatian.

Malah, laporan terbaru menyatakan, kawalan keselamatan hampir sama akan diteruskan lagi untuk memastikan kejohanan Paralimpik pada 29 Ogos hingga 9 September 2012 juga selamat.

Pada Isnin lalu, menurut laporan Associated Press (AP), 116,000 orang sama ada ahli sukan, pelancong atau delegasi media berlepas pulang dari Lapangan Terbang Heathrow, 70,000 lagi pulang dari lapangan terbang Gatwick.

“Sistem operasi lapangan terbang menjadi tumpuan berbulan-bulan sebelum Olimpik bermula kerana kekurangan kakitangan menguruskan pelawat dan bagasi tetapi semuanya berjalan lancar kali ini. Malah, Perdana Menteri Britain, David Cameron, adalah antara yang berada di lapangan terbang itu untuk pergi bercuti di Mediterranean,” kata agensi berita itu.

Datuk Bandar London, Boris Johnson pula menyifatkan London berjaya menepis pandangan pihak yang meragui kejohanan berlangsung tanpa masalah.

Perangkaan menunjukkan 300,000 pelawat asing masuk ke Britain sepanjang kejohanan dengan purata 5.5 juta memasuki ibu negara Britain itu sehari untuk menghadiri pertandingan dan kadar penginapan di hotel mencapai 84 peratus, dua kali ganda daripada tuan rumah kejohanan di Beijing dan Sydney.

Laporan demi laporan selain spekulasi mengenai ancaman keselamatan terhadap Olimpik London memang pelbagai.

Laporan AP baru-baru ini membuat kesimpulan yang hanya mengukuhkan pandangan serong terhadap orang Islam dengan menyatakan: “Britain adalah sasaran utama kumpulan pengganas Islam kerana ia menyokong operasi tentera Amerika di Afghanistan dan Iraq. Berpuluh-puluh komplot termasuk cubaan meletupkan beberapa pesawat pada 2006 dirancang penduduk Islam Britain yang agak ramai dengan sejuta daripada mereka ada hubungan dengan Pakistan.

“Meningkatkan lagi kebimbangan ialah pengakuan kontraktor keselamatan Olimpik sebelum kejohanan bermula bahawa ia kekurangan petugas keselamatan. Akhirnya, pihak tentera menyediakan 3,500 kakitangan tambahan. Polis, bagaimanapun, membuat 250 tangkapan sekalipun tiada serangan berlaku yang dianggap pegawai sebagai berpunca daripada perancangan dan maklumat perisikan sejak beberapa tahun lalu.”

Ada laporan mengatakan pegawai kanan perisikan Iraq memberitahu AP sebulan sebelum Olimpik London dilancarkan bahawa pihak berkuasa negara itu memberi maklumat kepada pegawai Britain mengenai komunikasi antara kumpulan pengganas di Iraq dan United Kingdom.

Pegawai Britain juga dilaporkan mendapat maklumat lebih banyak mengenai ancaman terhadap pertandingan Olimpik kali ini ‘tetapi ia tidak membawa kepada apa-apa perkembangan.’

Di sebalik laporan mengenai ancaman keselamatan terhadap Olimpik itu, AP juga ada teori mengapa pelampau Islam tidak mengganas ketika kejohanan Olimpik berlangsung di London tahun ini.

Ia menyebut ‘pergerakan al-Qaeda yang lemah kerana pemimpin kanannya dan perancang strateginya dibunuh, biasanya menyerang ‘sasaran lebih lembut’ dan bukannya kejohanan besar seperti Olimpik.’

Pun begitu, setakat ini tiada siapa yang cuba mengulas mengapa penganjur Olimpik 2012 menyediakan beribu-ribu kondom kepada peserta kejohanan.