Ipoh: Usia pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi sektor swasta kekal pada 55 tahun.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata kerajaan belum bercadang mengubah peraturan itu pada masa ini, sekalipun usia persaraan pekerja sektor dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun berkuat kuasa Januari depan.
Keputusan melanjutkan had usia persaraan minimum bagi pekerja swasta daripada 55 tahun kepada 60 tahun tidak membabitkan pengeluaran penuh KWSP.
Ia hanya spekulasi yang dibuat pihak tertentu. Buat masa ini, usia untuk pengeluaran penuh caruman KWSP kekal pada 55 tahun, katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian kain jubah, buah tamar dan air zam-zam kepada jawatankuasa masjid Parlimen Tambun di Dewan Institut Latihan Perindustrian, Jelapang di sini, semalam.
Tidak perlu bimbang Isu pengeluaran KWSP pada usia 60 tahun itu timbul susulan pembentangan Rang Undang-undang Persaraan Minimum 2012 di Dewan Rakyat, Jun lalu, yang menetapkan usia persaraan minimum pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun, berkuat kuasa Januari tahun depan.
Berikutan itu, Husni meminta pencarum KWSP tidak bimbang kerana mereka boleh membuat pengeluaran dana berkenaan pada usia 55 tahun seperti sekarang.
Pertimbang teruskan BR1M Dalam perkembangan lain, Husni juga memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi membantu meringankan beban rakyat.
Kita sedang meneliti perkara itu dalam penyediaan Belanjawan 2013. Keputusan (pemberian BR1M kedua) bergantung kepada pendapatan lebihan kerajaan selepas ditolak perbelanjaan operasi serta pembangunan negara.
Rakyat memberi maklum balas positif dan pandangan mereka bagi Bajet 2013. Kebanyakan mereka menyuarakan kebimbangan peningkatan kos hidup akibat kenaikan harga makanan, katanya.