gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Canny Ong

Foto

Gambar fail menunjukkan Ahmad Najib dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan kes bunuh Canny Ong.

Dokumentari Canny Ong disiarkan Crime & Investigation 12 Disember

PENGANALISIS teknologi maklumat (IT), Canny Ong Lay Kian balik ke Malaysia untuk menziarahi bapanya yang menghidap barah.
Selepas bapanya menjalani pembedahan dan keadaannya juga semakin baik, Canny bersiap sedia untuk pulang ke Amerika Syarikat kerana dia bekerja dan menetap di sana.

Bagaimanapun, tarikh 13 Jun 2003 menjadi hari sangat malang bagi wanita ini. Selepas selesai makan malam perpisahan dengan keluarga dan rakan-rakannya di sebuah pusat beli-belah eksklusif di Bangsar, Kuala Lumpur, Canny dilaporkan hilang secara misteri di tempat letak kereta.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta, mereka terkejut apabila mendapati wanita ini diculik. Itulah kali terakhir dia dilihat masih hidup.

Tidak lama selepas itu, barulah mangsa didapati turut diseksa, dibunuh dan dibakar oleh penculik. Selepas polis melakukan siasatan menyeluruh, mayat Canny yang terbakar ditemui dalam lubang di tepi lebuh raya di pinggir Kuala Lumpur.

Pastinya ia saat paling menyedihkan buat keluarga dan rakan mangsa. Ini kerana Canny ialah seorang yang baik, cantik dan tidak mempunyai musuh.
Selepas siasatan lebih terperinci dengan bantuan forensik, polis menahan penculik dan pembunuh Canny, iaitu seorang pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris, 27 tahun.

Polis menemui bukti kukuh bahawa Najib terbabit pada malam pembunuhan Canny, tetapi banyak persoalan lain timbul. Mengapa Najib membunuh Canny? Dan mengapa dia menjadi begitu kejam?

Ikuti persoalan ini dalam dokumentari istimewa berjudul The Murder of Canny Ong, yang ditayangkan secara perdana pada 12 Disember ini menerusi saluran Crime & Investigation Asia, di stesen TV berbayar Astro.

Siaran ulangan dokumentari ini pula adalah pada 13 Disember (11 malam), 15 Disember (8 malam), 16 Disember (10 malam), 17 Disember (9 malam) dan 18 Disember (10 malam).

Dokumentari ini turut menampilkan temu bual bersama ibu mangsa, Pearly Visvanathan Ong, yang sehingga hari ini masih menanggung kesedihan di atas kehilangan anak kesayangannya.

Turut ditemu bual ialah Deputi Superitendent Amidon Anan yang ketika itu Ketua Jabatan Jenayah yang mengetuai siasatan kehilangan dan kematian Canny.

Selain Pearly dan Amidon, dokumentari ini juga memaparkan temu bual bersama Timbalan Pendakwa raya, Datuk Sallehuddin Saidin; ketua barisan peguam bela Ahmad Najib, Muhammad Haniff Khatri Abdullah; wartawan, Angela D’Cruz; pakar jenayah dan psikologi, Dr Geshina Ayu Mat Saat; Ketua Siasatan Jenayah Selangor, SAC Abu Bakar Mustafa; dan kawan baik mangsa, Noreen Natasha.