Kemiskinan Tegar difilemkan
Umpama bait lirik lagunya, Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang, begitulah realiti kehidupannya yang tidak seindah kanak-kanak seusia.

Ketika kanak-kanak lain riang menjalani kehidupan bersekolah dan bermain sesama rakan, segala-galanya berbeza bagi si cilik berusia 12 tahun ini. Sisa hidupnya selama sembilan tahun diabdikan dengan mencari rezeki demi menyara keluarga.
Gelaran pengamen atau penyanyi jalanan sudah digalas Tegar Septian sejak berusia tujuh tahun lagi. Berbekalkan Ukulele yang dibeli hasil kerja kerasnya sebagai pengamen, alat muzik itu menjadi teman mencari rezeki di jalanan.

Tidak pernah minta hidupnya demikian, apatah lagi keinginan untuk bersekolah masih menebal dalam diri. Tetapi, si kecil ini nekad tidak bergantung harap kepada orang lain.

Niatnya cukup mulia, mencari sesuap nasi untuk ibu dan tiga adiknya. Biarpun susah, dia berusaha memperbaiki kehidupan keluarga. Siapa sangka, berkat kecekalannya, Tegar mencetus fenomena dalam industri seni Indonesia.

Tidak menduga hidupnya akan berubah sekelip mata selepas bertemu operator telekomunikasi, Alfas Hermansyah yang kebetulan menyaksikan telatah si kecil ini bersama Ukulele berkeliaran di sekitar kota Subang, Jawa Barat, Indonesia, setahun lalu.

Pertemuan singkat itu membawa penyanyi yang dianggap bersuara unik ini ke syarikat rakaman, Harpa Records. Dalam tempoh setengah tahun, namanya menjadi bualan bukan saja di seluruh Indonesia, malah bakatnya disebut-sebut di Malaysia.
Tak sedar aksi dimuat naik di Youtube

Daripada tinggal di sebuah rumah setinggan yang keluasannya hanya 4 x 6 meter, Tegar kini tersenyum kerana sudah memiliki rumah sendiri di Subang. Tegar juga sudah membeli motosikal sendiri.

Video Tegar yang dimuat naik ke laman Youtube sejak Mei tahun lalu, sudah mencecah lapan juta tontonan.

"Kalau saya mengamen, biasanya dapat 60,000 ke 100,000 Rupiah sehari. Saya juga pernah pulang ke rumah dengan tangan kosong. Hasil itu akan saya belanjakan untuk keluarga dan ada ketikanya bersama teman di kafe siber untuk bermain game.

"Dijadikan cerita, ada orang yang rakam dan memuat naik video saya ke Youtube. Dalam tempoh sebulan, sudah ada sejuta tontonan. Saya tidak minta video saya dimuat naik, tetapi, syukur Alhamdulilah, berkat kesungguhan saya untuk menjadi penyanyi dan orang kaya, akhirnya dimakbulkan.

"Lagu ini (Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang) asalnya milik Ratna Koin. Tetapi kerana liriknya tidak sesuai dengan saya, jadi diubah oleh Wawan J," katanya.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini