"SUNYI suasana kempen di Batu Sapi...kalau di Semenanjung mesti kita tak menang tangan dan tak cukup masa nak ikuti semua program calon yang bertanding. Suasana kempen pun nampak lesu," rungut seorang teman penulis yang juga orang media ketika meninjau kawasan sekitar yang masih nampak hambar dengan poster dan bendera calon bertanding.
Penulis turut mengakui perkara itu kerana sudah menjadi kelaziman pada pilihan raya kecil sebelum ini, selepas saja tamat proses penamaan calon, perang poster dan perang kempen pun bermula.
Tumpuan di Batu Sapi bukan lagi legenda batu sapi, sejenis formasi batu yang kelihatan seperti seekor sapi berkaki tiga berhampiran Taman Warisan di muara sungai dekat sini, tapi kehangatan kempen pilihan raya kecil yang akan menjadi medan penentuan ia kekal menjadi milik BN atau terlepas kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu pun Parti Maju Sabah (SAPP).
Namun suasana masih lagi ‘biasa-biasa’ saja, meskipun sudah masuk hari ketiga hari ini.
Pada hari pertama kempen selepas penamaan calon, penulis sempat meninjau pusat media penerangan dan bilik gerakan Barisan Nasional (BN) negeri bersama beberapa rakan dan agak mengejutkan, walaupun kempen sudah bermula, pengurusan bilik gerakan masih lagi kucar-kacir dan media masih belum mendapat maklumat perjalanan kempen oleh calon BN.
Pilihan raya kecil Batu Sapi mempunyai kepentingan tersendiri bagi parti yang bertanding. Bagi BN ia adalah medan untuk mempertahankan maruah dan penerimaan pengundi terhadap pelbagai transformasi yang sudah dilaksanakan.
Matlamat itu mungkin berbeza bagi pembangkang terutama PKR yang mungkin akan melihat penyertaan mereka sebagai medan tempur menguji sejauh mana mereka boleh diterima rakyat dan pengundi Sabah yang dilihat sebagai kubu kuat BN.
Jika PKR melalui calonnya, Ansari Abdullah yang sebelum ini pernah bertanding tetapi tidak pernah menang mampu memenangi hati pengundi, pilihan raya kali ini akan menjadi satu batu loncatan untuk mereka memperluaskan lagi penguasaan mereka di Sabah dan sebagai petanda awal mereka sudah mula diterima dan mengembangkan pengaruh mereka.
Berbeza dengan SAPP yang tidak dianggap sekutu oleh pakatan pembangkang (PKR, DAP, PAS) dengan mempertaruhkan pemimpin nombor satu SAPP, Datuk Yong Teck Lee, boleh dilihat sebagai satu strategi yang baik kerana Presiden SAPP itu mempunyai rekod bersih, malah tidak pernah kalah pada setiap ‘pertarungan’ yang disertainya.
Jika menang, Yong mungkin dijulang sebagai wira, jika tersungkur ia adalah satu tamparan hebat kepadanya yang cukup dikenali sebagai pemimpin yang tak pernah tewas di Sabah.
Bagai dijangka, PKR awal-awal lagi sebaik tamat penamaan calon sudah mula mencanangkan akan memainkan isu kemiskinan dan pembangunan yang didakwa gagal dilaksanakan sepanjang 47 tahun memerintah Sabah dan mungkin akan menggunakan strategi tetap mereka iaitu menyerang peribadi lawan.
Berbeza dengan Yong yang dilihat cukup tidak selesa apabila peribadi dijadikan isu menyerang pihak lawan, malah ketika ditemuramah sebuah stesen televisyen selepas berceramah malam kelmarin, beliau dengan ringkas menjawab tidak akan berkempen menyerang peribadi calon, malah kelihatan tidak selesa diajukan soalan sedemikian.
Pun begitu, pertaruhan BN dengan meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin yang juga balu kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah turut mendapat reaksi pelbagai.
Namun, itu menjadi cabaran kepada BN dan usaha perlu diperkukuhkan dalam memastikan calon yang diletakkan memberi tamparan kepada lawan, sekali gus mempertahankan penguasaan BN di Batu Sapi.
Seharusnya, Linda Tsen membuktikan setiap dakwaan dan persepsi pelbagai pihak yang menyatakan beliau calon yang lemah, kurang mesra, kurang bergaul dengan masyarakat Bumiputera terutama di kawasan perkampungan air seperti didakwa banyak pihak perlu ditangkis dengan berhemah.
Kini tiada lagi istilah kawasan selamat atau tidak, walaupun Sabah pada hakikatnya boleh dianggap sebagai ‘simpanan tetap’ BN. Jika jentera lambat bertindak, pastinya pembangkang akan mengambil kesempatan mendekati pengundi dengan cara mereka.
Paling penting semua jentera parti komponen BN dan UMNO melalui sayap Wanita, Pemuda dan Puteri perlu lebih agresif menggerakkan jentera.
Kekalahan di Sibu perlu dijadikan pengajaran dan mungkin dengan kempen yang lebih agresif dan bilik gerakan yang lebih berperanan, Batu Sapi dapat terus dikekalkan di bawah penguasaan BN.