Ilmu agama tak boleh hanya berpandukan buku atau maklumat di internet

Akhir-akhir ini ada yang berani mentafsir ayat Allah sekadar berpandukan buku serta sebaran maklumat melalui internet, tanpa merujuk dan bertalaqqi dengan ulama, sebaliknya mereka hanya menelaah lembaran dan helaian kitab secara langsung.
Mereka ini secara memandai-mandai telah melayakkan diri mentafsir kalam Allah atas alasan kebebasan memberi pandangan dan berhujah. Mereka ini sebenarnya tidak memahami apakah maksud tafsir Quran itu sendiri.

Sabda Rasulullah: "Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga diberi rahmat oleh Allah Taala"
Dalam konteks agama, bukan semua orang mempunyai kelayakan untuk mentafsir Quran, apatah lagi cuba mempermudahkannya untuk tujuan tertentu.

Dalam soal ini, Prof Dr Yusof Qaradhawi menyatakan: “Sesungguhnya ramai kalangan muda zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutama dalam ilmu hadis, lantas berasakan mereka sudah pakar dalam ilmu pada hal mereka belum pun mengecapi permulaannya.”

Ulama tabiin, Muhammad bin Sirin, mengingatkan sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka lihatlah daripada siapa engkau mengambil agamamu.

Justeru, adalah malang apabila mereka berasa yakin dengan kefahaman sendiri seolah-olah menyamakan ilmu agama yang sangat rumit dan memerlukan penjelasan daripada ulama dengan ilmu-ilmu keduniaan lain.
Tanpa bimbingan daripada pakar agama, jika berlaku salah kefahaman ketika membaca, seseorang itu akan terus sesat dengan kefahamannya bahkan boleh menyesatkan orang lain pula. Inilah bahaya besar yang menunggu umat Islam jika kesedaran tidak didedahkan di peringkat awal lagi.

Seseorang yang berilmu pengetahuan mengenai al-Quran dan boleh menterjemahkannya tetapi apabila menyampaikan tafsiran al-Quran kepada orang lain dengan tafsiran sebaliknya, maka perbuatan itu dianggap penyelewengan.

Apatah lagi jika seseorang yang tidak berilmu dalam mentafsir cuba mentafsir al-Quran mengikut kecenderungannya, sedangkan tidak ada kelayakan untuk berbuat demikian, dia boleh merosakkan kesucian al-Quran.

Berguru dan mendalami ilmu tafsir adalah prasyarat penting dalam meletakkan kelayakan seseorang kepada bidangnya. Tidak salah merujuk dan bertanya kepada yang tahu tetapi yang salahnya bercakap seperti orang berilmu tetapi sebenarnya tidak.

Rasulullah SAW bersabda: “Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga diberi rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya daripada satu pertanyaan itu diberi pahala akan empat orang. Pertamanya, orang yang bertanya. Keduanya, guru yang menjawab. Ketiganya, orang yang mendengar jawapan itu. Keempat, orang yang cinta kepada mereka.” (Riwayat Abu Nuaim)

Penyelewengan berhubung tafsiran al-Quran adalah suatu perkara yang salah dan tidak boleh dibiarkan. Jika ia dilakukan oleh orang Islam, maka orang itu berdosa dan jika ia dilakukan oleh bukan Islam, perbuatan itu perlu dicegah dan orang itu perlu dilarang berbuat demikian.

Antara syarat menjadi pentafsir al-Quran ialah bersih daripada hawa nafsu demi kepentingan agama, mempunyai keahlian dalam bidang hadis, riwayat dan dirayah kerana hadis nabi adalah penjelasan dalam menafsirkan ayat.

Selain itu pentafsir al-Quran juga hendaklah berpengetahuan mendalam dalam ilmu nahu kerana pemahaman sesuatu ayat kebanyakannya memerlukan kepada kebolehan mengi’rab sesuatu perkataan.

Seorang pentafsir juga mestilah berpengetahuan luas dalam bidang ulum al-Quran kerana dapat membantu memahami ayat al-Quran dengan betul dan mendalam. Contohnya, Asbab al-Nuzul akan menolong mufassir memahami maksud ayat berdasarkan latar belakang penurunan ayat. Begitu juga mengetahui ayat diturunkan di Makkah atau Madinah dapat menyelesaikan kekaburan ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi) atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara saja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Syura', ayat 51).