Laman Utama » Rencana

Kepelbagaian budaya, tempat di Sarawak takkan habis diteroka

Oleh Zanariah Abd Mutalib

2011/04/12
Share |
“AOK, kamek dah pandei kelakar Sarawak.” (Ya, saya dah tahu cakap bahasa Sarawak). Bagi masyarakat Semenanjung yang datang ke Bumi Kenyalang, mereka sedikit sebanyak akan tahu dan belajar bahasa tempatan Sarawak.

Malah setiap komunikasi, sama ada sewaktu memesan makanan atau membeli-belah, bahasa Melayu Sarawak amat luas digunakan dan masyarakat luar perlu tahu bagi memudahkan urusan, selain menambahkan kemesraan. Bagi penulis, peluang membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10 adalah pengalaman paling berharga, apatah lagi baru berkecimpung dalam dunia kewartawanan kira-kira tiga tahun. Pengalaman membuat liputan di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini termasuk di kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Sibu, serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan Merlimau dijadikan sandaran. Namun ternyata pilihan raya di Bumi Kenyalang berbeza kerana membabitkan bentuk muka buminya lebih luas dengan calon lebih ramai. Jika dulu, fokus hanya diberikan kepada dua calon, Barisan Nasional (BN) dan pembangkang dengan paling ramai pun ialah di Bukit Selambau iaitu 15 calon yang majoritinya calon Bebas. Namun pada PRN Sarawak, 213 calon akan bertanding di 71 kerusi DUN dengan 41 calon Bebas yang masing-masing mahu mencuba nasib serta menilai populariti mereka di kalangan rakyat tempatan.

Bahang PRN Sarawak sudah lama bermula dan penulis mula merasainya apabila membuat liputan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Samarahan pada 20 Mac lalu dan kemudian DUN dibubarkan.

Apabila tiba di Kuching buat kali kedua sempena pilihan raya negeri iaitu dua hari sebelum penamaan calon, rakan media dari Semenanjung sudah mula betah berada di sini. Manakan tidak, ada yang sudah hampir sebulan berkampung di Sarawak dan sudah mahir dengan selok-belok jalan dan tempat makan yang sering menjadi tumpuan.

Komunikasi bukan masalah utama kepada penulis, kerana rata-rata rakyat Sarawak boleh berbahasa Melayu dan Inggeris, walaupun kaya dengan budaya dan bahasa sendiri berdasarkan etnik. Bagaimanapun, pengalaman melakukan tinjauan di Pasar Satok bagi mendapatkan pendapat kaum Iban dan Bidayuh mengenai persediaan mereka menghadapi pilihan raya tidak akan dilupakan.
Tidak seperti di Semenanjung, kita mudah mengetahui bangsa seseorang, di Sarawak, yang hanya dapat membezakan mereka ialah bahasa yang digunakan semasa komunikasi. Mujurlah jurugambar yang mengiringi penulis adalah rakyat tempatan, justeru beliau banyak membantu.

Pengalaman membuat liputan di lokasi jauh juga antara satu cabaran dihadapi petugas media di Sarawak. Ada yang terpaksa mengharungi perjalanan sehingga empat jam, termasuk ke Lundu dan Betong menggunakan pacuan empat roda. Keadaan lebih menyukarkan apabila tugasan itu ketika malam, termasuk ceramah kempen yang diadakan sama ada oleh BN atau pembangkang.

Tugasan pertama di lokasi yang agak jauh membawa penulis ke Bau, daerah yang dulunya terkenal dengan perlombongan emas terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar raya Kuching. Jika di Kuala Lumpur, jarak itu yang boleh disamakan dari Bangsar ke Shah Alam tidak terasa terlalu jauh, tetapi di Kuching disebabkan tidak biasa dengan pemandangan persekitaran, ia terasa agak jauh, apatah lagi apabila terpaksa beberapa kali berhenti untuk bertanyakan arah daripada penduduk setempat.

Seperti pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang saya turut ditugaskan ke sana tahun lalu, suasana hari penamaan calon di Sarawak juga aman dan teratur. Hari penamaan calon di Semenanjung memerlukan petugas media datang awal ke pusat penamaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas akibat kehadiran penyokong yang begitu ramai. Sorakan penyokong juga tidak serancak di Semenanjung. Mungkin ada sedikit provokasi, namun tidak sehingga mencetuskan pergaduhan.

Penulis juga tidak melepaskan peluang mengelilingi bandar raya Kuching untuk melihat suasana berkempen yang boleh dikatakan masih pada fasa awal. Memandu di bandar raya ini juga tidak sukar. Mungkin sedikit berbeza dengan Semenanjung termasuk dari segi bentuk papan tanda dan nama jalan yang kadangkala agak aneh didengar, namun pemandunya rata-rata berhemah. Jarang sekali mereka membunyikan hon atau memotong barisan. Kata seorang rakan yang juga anak tempatan, orang Sarawak tidak suka orang lain membunyikan hon, justeru mereka tentu tidak berbuat demikian.

Masih banyak lagi yang perlu diterokai terutama keunikan dan kepelbagaian budaya, cara hidup dan sosioekonomi rakyat negeri ini dalam kerangka harmoni, 1Malaysia.
Artikel Lain