KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata penting untuk rakyat menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti kerana banyak lagi tugas khusus untuk kesejahteraan rakyat masih belum selesai.

"Kita akan kembali ke Putrajaya sebab banyak tugas belum diselesaikan, perubahan yang besar akan berlaku di negara dan semua rakyat Malaysia akan mendapat pembelaan yang sebaik-baiknya," katanya di majlis penganugerahan dokumen pengenalan diri di sini.
Najib berkata, apa yang dilakukan kerajaan bukanlah janji kosong tetapi merupakan satu bukti janji ditepati kerana ia merupakan hasrat kerajaan agar dapat membela semua rakyat dengan kesungguhan dan komitmen tinggi.


Beliau berkata 'nambikei' atau keyakinan dengan masyarakat India di seluruh negara dapat diwujudkan kerana rakyat yakin bahawa kerajaan pada hari ini adalah kerajaan yang membuktikan janji yang dikotakan.

"Nambikei satu hubungan yang amat istimewa, saya tidak ada hasrat nak bertanding jawatan dalam MIC, saya cuma hendak bantu masyakarat kaum India di negara ini, saya pegang jawatan untuk semua bangsa," katanya.

Najib berkata, beliau mahukan kerajaan yang menegakkan keadilan sosial, berlaku adil kepada semua serta inklusif supaya semua rakyat dapat pertimbangan seadilnya di bawah sinaran cahaya gagasan 1Malaysia.

Beliau juga yakin sambutan rakyat pada majlis hari ini yang menggalakkan merupakan petanda baik untuk BN membawa arus dan gelombang yang akan mengangkat BN untuk kembali berkuasa dengan majoriti lebih besar kali ini.
"Dan sekali gus memberi harapan yang cukup besar bahawa kawasan (Parlimen) Batu boleh dimenangi oleh calon BN," katanya sambil menerima tepukan dan sorakan gemuruh daripada mereka yang hadir.

Beliau berkata, sempena 100 hari menerajui kepimpinan negara pada 1 Julai 2009, beliau telah mengumumkan beberapa komitmen utama, antaranya, memastikan pendaftaran lewat kelahiran, permohonan kewarganegaraan dan permit masuk dapat diselesaikan segera.

Beliau berkata, hasil daripada komitmen itu menunjukkan sejumlah 219,485 permohonan daftar lewat kelahiran, taraf kewarganegaraan dan permit masuk sejak 1997 hingga 2010 berjaya diselesaikan.

"Ini terbahagi kepada permohonan kewarganegaraan sebanyak 62,604, permit masuk (18,162) dan daftar lewat kelahiran (138,719). Ini menunjukkan bahawa Kementerian Dalam Negeri termasuk dua agensi khas iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen menggembleng tenaga untuk mencapai sasaran yang telah digariskan," katanya.

Najib berkata, melalui program MyDaftar, khususnya untuk kaum India, kerajaan telah menyelesaikan hampir 7,000 permohonan untuk dokumen pengenalan diri sejak ia dilaksanakan pada 2011.

"Kini kita terima sebanyak 7,600 permohonan baru dan saya percaya tindakan diambil untuk proses permohonan-permohonan tersebut," katanya.

Beliau berkata, kejayaan ini adalah berdasarkan perubahan daripada segi kerangka minda kakitangan dan pegawai agensi yang terbabit yang menyedari bahawa ini merupakan masalah kemanusiaan dan keadilan sosial yang perlu diberi pertimbangan untuk diambil tindakan segera.

"Kita juga menggunakan pendekatan jangan tunggu mereka datang ke Putrajaya atau ke pejabat JPN dan Imigresen, (sebaliknya) kita mesti turun, pergi tidak kira sama ada di ladang, estet, kampung Orang Asli yang jauh di pedalaman ataupun di rumah panjang.

"Walaupun kawasan tersebut amat sukar dari segi perhubungan tetapi agensi-agensi ini telahpun bergerak untuk mendekatkan kerajaan kepada mereka dan dengan ini begitu banyak kes-kes yang tidak mungkin dapat diselesaikan, sudahpun diselesaikan melalui pendekatan yang baru," katanya.

Beliau juga mahu JPN dan Imigresen supaya meneruskan tugas mereka mencari dan menyelesaikan kes-kes berkaitan secepat mungkin kerana pemerolehan dokumen pengenalan diri merupakan hak asasi mereka.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa terdapat seramai 300,000 masyarakat India yang masih belum memperolehi dokumen pengenalan diri, Najib berkata ia tidak masuk akal dan tidak perlu mempolitikkan isu terbabit.

"Kita panggil mereka datang, kalau 300,000 orang membanjiri Putrajaya mungkin akan sesak jalan tetapi yang muncul cuma satu peratus sahaja, mereka buat janji kononnya dalam masa 100 hari kalau pakatan perintah mereka boleh selesaikan 300,000 kes ini.

"Ini bererti 3,000 kes perlu diselesaikan dalam sehari dan tidak mungkin dapat diselesaikan, saya tidak percaya perkara ini boleh dilakukan, ini satu lagi janji palsu, janji bohong yang dibuat pembangkang," katanya.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada 100 orang, permit masuk (10) dan sijil kelahiran (10) serta melawat "Mobile Unit" JPN.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pelaksana Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. - BERNAMA