Nasional
Kerajaan Selangor, polis bincang kes remaja ditembak
2010/04/28
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, bagi membincangkan cara meredakan keresahan masyarakat berhubung tindakan polis dalam kejadian seorang remaja berusia 15 tahun ditembak mati, awal pagi kelmarin.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pertemuan itu akan diadakan dalam tempoh dua minggu ini bersama Exco Kerajaan Selangor.
Katanya, adalah penting bagi semua pihak benar-benar memahami kejadian itu dan pada masa sama memastikan mangsa yang tidak bersalah, dilindungi selain untuk mengetahui perkara sebenar.
"Apa yang terbaik ialah Ketua Polis Negeri bersikap terbuka dan adil dalam insiden ini.
"Kita mungkin akan duduk bersama dan berbincang bagaimana tindakan terhadap orang awam boleh dilakukan dan pada masa sama jenayah dielakkan, tanpa perlu membabitkan orang awam yang tidak bersalah," katanya pada sidang media selepas mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan merasmikan Majlis Pembukaan Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, semalam.
Abdul Khalid mengulas kejadian Aminulrasyid Amzah ditembak mati anggota peronda selepas dikatakan enggan menghentikan kereta yang dipandunya bagi diperiksa, awal pagi kelmarin.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya, berkata kes membabitkan Aminulrasyid dilihat sebagai kegagalan tindakan polis dalam melaksanakan undang-undang.
"Susah untuk percaya seorang remaja terbabit dengan kesalahan jenayah, apatah lagi mangsa hanya berumur 15 tahun dan berperwatakan baik selain disenangi rakan dan guru serta tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.
"Saya percaya polis mempunyai kod etika mereka sendiri dan setahu saya, menembak adalah tindakan terakhir yang dilakukan sedangkan pada masa sama, mangsa dikatakan tidak mengancam keselamatan anggota bertugas.
"Anggota polis yang terbabit dengan kes ini perlu disiasat dan hukuman setimpal perlu dikenakan kerana kes ini membabitkan nyawa remaja yang tidak berdosa,” katanya.
Peguam yang menawarkan diri sebagai peguam keluarga berkenaan, N Surendran, berkata isu dikemukakan bukan hanya membabitkan inkues, tetapi tindakan polis yang menyalahgunakan senjata api dalam melaksanakan tugas.
"Polis perlu mengadakan siasatan lanjut yang benar-benar telus dan dikawal selia Bukit Aman atau satu suruhanjaya khas ditubuhkan supaya kes ini akan dapat diselesaikan dengan baik," katanya.