Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat akan terus memberikan perhatian terhadap usaha membina lebih banyak rumah mampu milik bagi membantu golongan kurang berkemampuan memiliki rumah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia selaras manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Mei lalu yang mensasarkan hampir sejuta unit rumah akan dibina untuk menampung keperluan rakyat.
Beliau berkata komitmen itu juga seiring dengan keprihatinan kerajaan terhadap kesukaran rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah berikutan harga hartanah yang melambung tinggi.

Muhyiddin berkata demikian pada majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepayan Ridge, di sini, pagi ini.