BATU PAHAT: Kerajaan perlu memaklumkan kepada rakyat
tentang data dan statistik terkini pegangan ekuiti serta kedudukan ekonomi orang Melayu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini.

Beliau berkata data dan statistik terkini tentang pencapaian ekonomi orang
Melayu itu akan menunjukkan kedudukan orang Melayu masih terkebelakang,
sekaligus memerlukan dasar affirmatif seperti sistem kuota dipertahankan.

"Data dan statistik terkini tentang kedudukan ekonomi pelbagai kaum negara
ini perlu dimaklumkan kepada rakyat untuk membuktikan bahawa kedudukan orang
Melayu di dalam ekonomi dan pelbagai sektor masih ketinggalan berbanding kaum lain."

"Ia (data dan statistik kedudukan ekonomi pelbagai kaum) perlu dikeluarkan
kerana banyak pihak mendesak supaya dasar kerajaan seperti sistem kuota
ditamatkan," katanya pada majlis rumah terbuka anjurannya di Dewan Senggarang di
sini.

Mohd Puad, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata selain maklumat
tentang pegangan ekuiti, kerajaan perlu memaklumkan kepada rakyat data tentang
pelbagai bidang ekonomi termasuk peruncitan, pemborongan serta pekerjaaan
seperti guaman.

Beliau berkata dasar affirmatif untuk membantu orang Melayu seperti sistem
kuota perlu dipertahankan kerana ia memberikan kesaksamaan dan keadilan ekonomi
kepada orang Melayu.

"Jangan ada pihak yang mengatakan dasar yang dilaksana oleh kerajaan seperti
sistem kuota adalah tidak adil sedangkan mereka mengetahui ramai di kalangan
orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang ketinggalan dalam banyak
sektor," katanya.

Mohd Puad turut ditanya tentang kenyataan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan
Yew yang mendakwa hubungan kaum di Malaysia akan lebih baik jika Singapura kekal
di dalam Malaysia.

Mohd Puad berkata kenyataan Lee itu merupakan suatu provokasi dan
menunjukkan pemimpin republik itu telah "hilang ingatan" tentang punca di
sebalik keluarnya Singapura daripada Malaysia.

"Dia (Lee) tahu jika Singapura kekal di dalam Malaysia, politik negara ini
tidak akan stabil kerana dasar Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh beliau
(Lee)," katanya.

Mohd Puad berkata apa yang dicapai oleh Malaysia adalah lebih baik
berbanding Singapura terutamanya di dalam soal apa yang dikehendaki oleh rakyat.

Sebagai contoh, katanya Malaysia membenarkan penubuhan sekolah jenis
kebangsaan Cina dan Tamil sebagaimana dikehendaki kedua-dua masyarakat itu.

Malaysia juga, katanya mempunyai kebebasan berpolitik yang boleh dibanggakan
berbanding Singapura.

Ahli dan parti politik di Singapura tidak menikmati kebebasan sebagaimana
diperoleh oleh rakan mereka di negara ini, katanya.

Mengenai terdapatnya pemimpim pembangkang terutamanya daripada DAP yang
menyambut baik kenyataan Lee itu, Mohd Puad berkata ia tidak memeranjatkan
kerana DAP itu lahir daripada parti PAP Singapura.

"DAP turut memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia sebagaimana PAP," kata
beliau. -- BERNAMA