Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata rakyat dapat melihat pembangunan dan kemajuan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh 55 tahun dan jelas amat berbeza dengan janji manis pakatan pembangkang.
“Ia bukan untuk dipolitikkan tetapi untuk kami terus membantu rakyat dan ia terbukti selama ini..., berbeza dengan pembangkang, jika janji buku jingga mereka dilaksanakan akan membawa kehancuran kepada ekonomi negara.
“Hari ini (semalam) kita semua memakai baju jingga untuk memberitahu bahawa janji ditepati oleh Kerajaan BN kepada rakyatnya,” katanya berucap pada program Jelajah Janji Ditepati (JJD) di padang Akademi Percukaian Malaysia di Teras Jernang, di sini, semalam.
Najib berkata, beliau teruja dengan sambutan rakyat pada program JJD hari ini, yang disifatkannya bakal berlaku perubahan positif di Selangor kemungkinan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Sokongan padu rakyat
“Ada yang salam dengan saya dengan menggenggam kuat..., saya kata tidak mengapa kalau tangan sakit pun, asalkan undi kita bertambah... dengan sokongan padu rakyat hari ini saya dapat bayangkan sesuatu positif bakal berlaku di Selangor.
“Rakyat Selangor ingin bertanya apa sudah jadi dengan janji pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008..., apakah ia hanya sekadar janji atau janji di bibir saja, sekarang ini kita berada di ambang pilihan raya umum (PRU), masih lagi tidak ada bayang janji ditunaikan pembangkang,” katanya.
Najib berkata, sebagai contoh, rakyat setempat dapat melihat kemajuan yang dibawa kerajaan BN sewaktu mentadbir Selangor sehingga Bangi menjadi antara kawasan tumpuan untuk diduduki.
“Siapa yang membangunkan Selangor sebelum ini, siapa yang membangunkan Bangi, siapa bangunkan Shah Alam..., dulu kawasan Bangi tak ada orang nak pandang tetapi Bangi kini tanahnya bernilai tinggi dan ramai profesional tinggal di sini,” katanya.
