KUALA LUMPUR: Walaupun banyak kes berkaitan penipuan melalui Internet dilaporkan media massa namun masih ada lagi individu yang menjadi mangsa sindiket itu gara-gara cinta.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata semalam polis menahan sembilan lelaki Nigeria berusia antara 20 dan 30 tahun yang dipercayai pelajar terlibat dalam sindiket 'African Scam' di Ampang serta Puchong.
Beliau berkata seorang guru berusia 45 tahun kerugian RM14,200 dan membuat laporan polis kerana berasa dirinya tertipu apabila barang pos yang dijanjikan tidak diterima selepas membuat sejumlah bayaran.

Pada April lepas, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki yang tinggal di Scotland dikenali sebagai Halim dan bekerja sebagai jurutera melalui laman sosial.

Katanya, selepas sebulan berkenalan, wanita itu diminta memberi sejumlah wang bagi membolehkan lelaki berkenaan menghantar barang kepada mangsa sebagai hadiah.

"Mangsa diminta memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun tempatan seorang perempuan tempatan sebagai bayaran untuk pihak kastam, yang kononnya telah ditahan di syarikat penghantaran di Kota Kinabalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohan Singh berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya merampas lapan komputer riba dan 13 telefon bimbit pelbagai jenama.
Dalam perkembangan lain, empat lelaki berusia antara 29 dan 32 tahun ditahan berhubung kes tembak di Jalan Budiman 19, Bandar Tun Razak pada 11 Mei lepas.

Semua suspek ditahan pukul 2.30 pagi 12 Mei lepas di Cheras dan ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 8.46 malam itu, mangsa S.Tamil dan N.Saravanan nyaris maut ditembak sekumpulan lelaki selepas terbabit dalam satu pergaduhan di Jalan Budiman 19, Bandar Tun Razak. - BERNAMA